Hulu Terengganu berisiko cetus kluster lebih besar jika ingkar SOP

Kawat duri yang dipasang di laluan utama keluar masuk ke Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu, sempena pelaksanaan PKPD, bermula Khamis lalu.
Kawat duri yang dipasang di laluan utama keluar masuk ke Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu, sempena pelaksanaan PKPD, bermula Khamis lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Daerah Hulu Terengganu berisiko mengalami kluster lebih besar sekiranya penduduk di kawasan itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini terdapat 124 kes Covid-19 aktif daripada lima kluster di daerah berkenaan berpunca daripada pelanggaran SOP dengan melakukan ziarah raya.

"Gara-gara masih ada yang melanggar SOP hanya kerana ingin beraya, rentas negeri dan ziarah raya, akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan yang besar.

"Hulu Terengganu tidak boleh lagi dianggap daerah selamat. Sekarang bukan mukim Kuala Berang saja yang ada kluster, mukim Hulu Telemong dan mukim Tanggol juga sudah dilanda badai Covid-19. Jika perlanggaran SOP berterusan maka bersedialah rakyat Hulu Terengganu menghadapi kluster yang lebih besar," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, pada Sabtu.

Nor Azimi berkata, kluster di mukim Hulu Telemong berpunca daripada sejarah balik beraya dari Melaka yang sudah kembali semula ke negeri terbabit.

"Kes tersebut balik dalam keadaan bergejala dan telah menular ke sebuah pejabat. Akhirnya 10 pekerja pejabat disahkan positif dan kontak rapat sedang dikesan," katanya.

Selain itu, menurut beliau, terdapat sejarah indeks kes balik dari Johor dua hari sebelum raya dan melakukan ziarah raya antara ahli keluarga terdekat sebelum menjangkiti 24 orang lain dan disahkan positif.

"Daripada kes tersebut merebak ke pasar pula di mana empat pekerja di pasar itu disahkan positif. Bagaimana risiko peniaga dan pembeli di situ? Semuanya terdedah dan ditakuti jangkitan telah meluas tanpa sedar.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan kluster di sebuah taman perumahan. Balik beraya di Bentong dan tergamak balik beraya pula dengan jiran-jiran. Akhirnya enam disahkan positif dan kontak rapat juga menjangkau ratusan orang," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azimi turut mengulas kes melibatkan seorang individu balik dari Johor untuk berkahwin, namun masih melakukan ziarah raya keluarga terdekat yang akhirnya menjangkiti lima yang lain dan kontak rapat masih dikesan.

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi

Selain itu, beliau berkata, terdapat sejarah kes di mukim Tanggol, Hulu Terengganu melibatkan seramai 14 orang menziarahi ahli keluarga yang meninggal dunia di daerah Marang.

"Dalam kalangan mereka terdapat kes positif. Kesemua 14 orang disahkan positif. Kalau 14 orang ini duduk di rumah boleh tahan lagi. Jika bergerak sana sini mungkin 140 orang lagi akan terdedah.

"Akhirnya kes ini menular ke masjid pula apabila seorang bilal dan jemaah disahkan positif. Berapa ramai jemaah dan ahli keluarga jemaah terdedah. Bayangkan.

"Kalau betul ada keperluan untuk ziarah kematian, memadai seorang atau dua orang sahaja pergi dan patuhi sepenuhnya," katanya.