Enam produk keluaran Gardenia alami kenaikan harga

Sepucuk surat berhubung perubahan harga produk keluaran syarikat itu berkuatkuasa pada 1 Jun yang tular di laman sosial pada Sabtu.
Sepucuk surat berhubung perubahan harga produk keluaran syarikat itu berkuatkuasa pada 1 Jun yang tular di laman sosial pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL) mengesahkan harga enam produk keluaran syarikat itu dinaikkan berkuatkuasa 1 Jun ini.

Pengurusan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, enam produk itu terdiri daripada Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread (200g); Gardenia Delicia Hazelnut Chocolate Spread (375g); Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread (200g); Gardenia Delicia Milky Chocolate Spread (375g); Gardenia Auntie Rosie - Original Homestyle Kaya (200g) dan Gardenia Auntie Rosie - Natural Pandan Kaya (200g).

Menurut kenyataan itu, perubahan harga itu berlaku susulan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung syarikat.

"Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, GBKL telah mengalami kenaikan kos luar biasa dari segi kos pembuatan dan kos bahan mentah yang berada di luar kawalan pihak syarikat.

"Selama ini GBKL menyerap kos kenaikan tersebut dan kini GBKL tidak mempunyai alternatif lain kecuali untuk melaksanakan semakan semula harga produk-produk Gardenia terpilih yang akan berkuatkuasa mulai 1 Jun 2021," kata kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, harga bagi produk-produk Gardenia yang lain masih dikekalkan dan GBKL akan terus menyerap kenaikan kos produk-produk tersebut.

"Antara bahan-bahan mentah yang mengalami kenaikan mendadak adalah seperti lemak sayuran, serbuk koko, susu serta kos pembungkusan dan lain-lain lagi.

"Fokus kami tertumpu kepada usaha untuk terus mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang-kilang kami," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Tambah kenyataan itu, kenaikan harga adalah langkah terakhir setelah pelbagai usaha telah diambil untuk mengatasi perkara tersebut.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna setia kami atas sokongan berterusan dan pertimbangan situasi sedia ada," kata kenyataan itu.

Pada Sabtu, tular sepucuk surat berhubung perubahan harga produk keluaran syarikat itu berkuatkuasa pada 1 Jun.