X

Kindly register in order to view this article
!

KDN tambah kekuatan PDRM ketika 'total lockdown'

SJR di seluruh negara akan ditambah daripada 600 kepada lebih 800 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksanakan bermula 1 Jun ini.
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) meningkatkan kekuatan keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain kepada 70,000 anggota sepanjang pelaksanaan 'total lockdown' kali ini yang akan bermula Selasa ini.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, daripada jumlah itu, kekuatan PDRM ditambah kepada 55,000 anggota berbanding 37,000 anggota ketika ini.

Hamzah (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di KDN pada Sabtu.
Hamzah (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama di KDN pada Sabtu.

"KDN juga telah menggerakkan seramai 15,000 anggota lagi daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain yang menjadikan jumlah kekuatan tambahan keseluruhan sebanyak 70,000 anggota.

"Selain itu, KDN melalui PDRM juga akan meningkatkan bilangan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara kepada lebih 800 SJR berbanding hampir 600 SJR ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan 'Total Lockdown' Fasa Pertama peringkat KDN di kementerian itu pada Sabtu.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Jumaat memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun ini bagi membendung penularan Covid-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, sidang khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut memutuskan semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh MKN.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, usaha itu merupakan langkah tambahan bagi memastikan aspek penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan secara berkesan susulan pelaksanaan 'total lockdown' berkenaan.

Malahan, beliau berkata, KDN bersedia untuk terus menambah jumlah anggota jika diperlukan melalui PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), ESCOMM, Agensi Kawalan Sempadan (Aksem), Jabatan Penjara Malaysia, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Menurutnya, pemeriksaan secara mengejut juga akan dilaksanakan oleh Tim Pemantauan Pematuhan SOP dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ujarnya, langkah itu bagi memastikan pematuhan SOP dalam kalangan sektor sosial dan ekonomi.

"Jumlah Tim Pemantauan Pematuhan SOP tersebut akan dipertingkatkan kepada hampir 20,000 orang anggota berbanding 13,795 orang ketika ini.

"Pemeriksaan juga akan melibatkan kawasan di luar bandar dan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai berkumpul," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!