Rentas negeri untuk hisap dadah

Nor Omar bersama Shamsul Ridzuan (kiri) meninjau sekatan jalan raya PKPD Mukim Sitiawan.
Nor Omar bersama Shamsul Ridzuan (kiri) meninjau sekatan jalan raya PKPD Mukim Sitiawan.
A
A
A

LUMUT - Seramai tujuh lelaki yang leka menghisap dadah ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pantai Remis di sini pada Jumaat.

Serbuan kira-kira jam 4.25 petang itu dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Pantai Remis selepas menerima maklumat mengenai kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 0.28 gram.

“Ketika serbuan semua suspek berusia 25 hingga 49 tahun itu didapati sedang berkumpul dipercayai menghisap dadah.

“Siasatan awal mendapati rumah berkenaan milik salah seorang suspek yang ditahan dan dijadikan 'port' melepaskan gian sejak sebulan lalu,” katanya ketika ditemui pemberita pada pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sungai Wangi, Sitiawan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, salah seorang suspek yang berusia 49 tahun juga didapati merentas negeri dari Kedah dengan alasan urusan kerja.

“Mereka direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

"Kompaun RM1,500 juga dikenakan kepada setiap suspek kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan lelaki yang merentas negeri itu turut dikompaun RM5,000 atas kesalahan terbabit," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nor Omar berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan dron daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam pelaksanaan PKPD Mukim Sitiawan.

"Penggunaan dron ini di kawasan Pasir Panjang, Manjung Point dan Lumut adalah untuk memantau tahap kepatuhan orang ramai terhadap SOP menerusi udara.

"Kawad duri dan halangan konkrit juga dipasang di semua laluan tikus bagi mengelakkan orang ramai menceroboh laluan itu selain beberapa ‘hotspot’ yang mempunyai kadar jangkitan tinggi telah dikenal pasti,” katanya.