'Lockdown': Pulau Pinang terus perkasa saringan Covid-19

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan pendekatan 3T iaitu saringan massa (mass testing), pengesanan kontak (tracing) dan rawatan (treatment) sepanjang tempoh pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama dalam usaha melawan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah mengarahkan pelaksanaan saringan massa dalam kumpulan komuniti bersasar membabitkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Menurutnya, menerusi pendekatan berkaitan, ia bakal meningkatkan lagi jumlah saringan kepada tambahan 40,000 sampel selain inisiatif ‘on-site pooled saliva RT-PCR screening’ secara berterusan hasil usahasama dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang membabitkan sektor perkilangan.

"Sehingga semalam (Jumaat), ‘on-site pooled saliva RT-PCR screening’ telah berjaya melaksanakan 920 saringan membabitkan sembilan kilang.

"Malah, data daripada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang turut menunjukkan dari tempoh 9 Mei hingga 22 Mei iaitu bagi minggu epid 19 dan 20, sebanyak 56,428 saringan telah dijalankan dengan kadar positiviti 8.37 peratus pada minggu epid 19 (9 hingga15 Mei) manakala 5.39 peratus bagi minggu epid 20 (16 hingga 22 Mei 2021)," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Sementara bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang untuk meningkatkan lagi kadar suntikan vaksin kepada 22,000 individu dalam tempoh seminggu pada bulan Jun 2021 iaitu sekali ganda daripada jumlah kini.

Katanya, sebagai tambahan, kerajaan negeri juga turut melihat kepada keperluan untuk mewujudkan sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega yang mana ia adalah lebih efisien untuk mempercepatkan pelaksanaan PICK di negeri ini termasuk kepada barisan ‘economic frontliners’, mereka yang berkhidmat dalam sektor perkilangan/industri serta yang berada dalam zon merah.

"Sebuah pelan konkrit program vaksinasi kerajaan negeri juga sedang giat dibincangkan kini.

Artikel Berkaitan:

"Ini khususnya adalah berkait dengan nekad kerajaan negeri untuk membeli sendiri bekalan vaksin demi kepentingan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

"Perancangan logistik, sistem pendaftaran yang dapat mengintegrasikan data daripada MySejahtera, penubuhan pasukan perubatan berdaftar tambahan, PPV dan lain-lain berkaitan sedang diteliti bagi membolehkan program ini berjalan dengan lancar dalam tempoh masa terdekat," katanya.