Lelaki terima 17 jahitan bergelut dengan buaya

Kasturi ketika menerima rawatan akibat digigit buaya dalam kejadian di kawasan laut berhampiran Sungai Gadong, Beaufort. Kesan luka di bahagian belakang dan bahu kanan Kasturi akibat digigit buaya dalam kejadian di kawasan laut berhampiran Sungai Gadong, Beaufort.
Kasturi ketika menerima rawatan akibat digigit buaya dalam kejadian di kawasan laut berhampiran Sungai Gadong, Beaufort. Kesan luka di bahagian belakang dan bahu kanan Kasturi akibat digigit buaya dalam kejadian di kawasan laut berhampiran Sungai Gadong, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang dapat digambarkan bagi seorang lelaki yang terpaksa bergelut dengan buaya selama lima minit sebelum berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian di kawasan laut di Sungai Gadong di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa, Kasturi Alang, 53, cedera bahagian belakang badan dan bahu kanan sehingga menerima 17 jahitan akibat digigit haiwan reptilia terbabit.

Menurut Kasturi, sebelum kejadian dia bersama isteri dan ibu mentuanya datang ke kawasan itu untuk mencari siput pada jam 9 pagi.

Katanya, sebaik tiba, mereka masing-masing turun dari bot dan berada di tempat berasingan untuk mencari siput.

"Tiba-tiba saya diserang dari arah belakang sebelum mengetahui ia adalah buaya. Saya terpaksa bergelut di dalam air, manakala isteri serta ibu mentua tidak sempat berbuat apa-apa.

"Saya akhirnya berjaya menyelamatkan diri selepas kira-kira lima minit bergelut, namun buaya itu sempat menggigit belakang badan dan bahu saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Kasturi berkata, selepas kejadian mereka bergegas keluar dari kawasan itu dan segera ke Klinik Kesihatan Padas Damit untuk mendapatkan rawatan.

"Kami menaiki bot semula untuk pulang ke Kampung Bintuka dan dibawa ke klinik dengan menaiki kereta.

Artikel Berkaitan:

"Kemudian saya dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut dan menerima sebanyak 17 jahitan," katanya.

Kasturi yang juga penduduk Kampung Bintuka memaklumkan bahawa kawasan itu memang ada buaya tetapi tidak pernah ada kejadian serangan dari haiwan berkenaan.

"Dulu memang ada serangan tetapi cerita orang dulu-dulu. Tetapi ini kali pertama saya diserang haiwan berkenaan kerana memang kawasan ini menjadi tempat saya mencari siput," katanya yang bekerja sebagai pencari siput di kampung berkenaan.