PKPD: Terengganu salur bantuan bersasar

AHMAD SAMSURI
AHMAD SAMSURI
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu memperuntukkan bantuan bersasar sebanyak RM420,000 kepada golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Kuala Berang dan daerah Kuala Terengganu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan itu selaras sebagaimana disalurkan di daerah Besut yang turut dikuatkuasakan PKPD bermula 22 Mei lalu.

"Kerajaan negeri sedia maklum pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelaksanaan 'total lockdown' di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

"Kita bersetuju menyalurkan bantuan bersasar di dua kawasan terbabit," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Selain itu beliau menasihatkan masyarakat terus mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya mohon rakyat kekal bertenang dan sentiasa patuh kepada arahan dan SOP. Usah kita menuding jari sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni sebaliknya terus bekerjasama memutuskan rantaian Covid-19.

"Teruskan bermunajat kepada Allah dan berdoa agar ujian ini segera berakhir dan kehidupan kita kembali normal seperti biasa," katanya.

Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD melibatkan 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu bermula 30 Mei hingga 12 Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

Mukim terbabit ialah Mukim Manir, Mukim Bukit Besar, Mukim Pengadang Buluh, Mukim Belara, Mukim Paloh, Mukim Kubang Parit, Mukim Serada, Mukim Rengas, Mukim Chendering, Mukim Bandar, Mukim Chabang Tiga, Mukim Kepong, Mukim Gelugur Kedai, Mukim Kuala Ibai, Mukim Atas Tol, Mukim Tok Jamal, Mukim Losong, Mukim Batu Buruk, Mukim Pekan Chabang Tiga, Mukim Pulau Pulau dan Mukim Gelugur Raja.

Ismail berkata, PKPD dikuatkuasakan berikutan terdapat peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti terbabit.

Selain Kuala Terengganu, mukim Kuala Berang di Hulu Terengganu turut dikuatkuasakan PKPD bermula 29 Mei hingga 11 Jun 2021.