Bantu sebar kebaikan vaksin

Gambar kecil: Zamri Hashim
Gambar kecil: Zamri Hashim
A
A
A

IPOH - Semua pihak termasuk pendakwah dan agamawan perlu meneruskan usaha menyebarkan kebenaran serta hukum yang telah diputuskan mengenai pengambilan vaksin.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim bagaimanapun mengingatkan sebarang penyebaran berita berkaitan vaksin Covid-19 juga tertakluk kepada undang-undang di negara ini.

Menurutnya, individu yang menyebarkan kenyataan mengelirukan mengenai suntikan vaksin Covid-19 boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Usaha memberi penerangan dan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan mengambil vaksin perlu dilaksanakan secara kerap melibatkan semua pihak khususnya di media sosial.

"Saranan ini bukan hanya terhad kepada asatizah tetapi semua pihak yang rapat dengan masyarakat termasuk pengamal media agar lebih mendidik masyarakat, bukannya memberikan persepsi yang tidak tepat," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, institusi agama di Perak menggunakan pelbagai pendekatan serta medium untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan vaksin antaranya menerusi khutbah Jumaat dan rakaman video temubual mengenai hukum menggunakan vaksin.

Sementara itu, ditanya sama ada mereka yang gagal hadir temu janji vaksin boleh dikategorikan sebagai kufur nikmat, Zamri menyifatkan perkara itu sebagai tidak wajar.

Menurutnya, ketidakhadiran mereka mengambil suntikan vaksin perlu dikaji secara terperinci sebelum menghukum tindakan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setelah dikesan di beberapa negeri dengan jumlah ketidakkehadiran yang tinggi termasuk di Perak, satu kajian secara komprehensif perlu dilakukan.

"Adakah ketidakhadiran itu disebabkan sikap atau berubah niat di saat akhir? Sistem panggilan untuk mengambil vaksin itu perlu diperbaiki atau penerima vaksin tidak menguasai atau kurang mesra dengan teknologi," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan anak-anak tidak dapat berada bersama ibu bapa yang perlu mengetahui perkembangan pengambilan vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Ada juga kes penerima vaksin daripada golongan tua yang tiada kenderaan. Jadi banyak faktor perlu diteliti," katanya.

Sementara itu, Zamri menegaskan, semua pihak perlu menggembleng tenaga secara konsisten dalam memberi kesedaran orang ramai untuk mengambil vaksin.

Katanya, dalam masa sama pihak yang berkemahiran perlu aktif menangkis hujah antivaksin dengan pantas secara ilmiah selain penguatkuasaan perlu ditingkatkan terhadap penyebar berita yang tidak benar berkaitan vaksin.

Zamri berkata, kelemahan terhadap sistem sedia ada juga perlu diperbaiki supaya lebih mesra kepada masyarakat.