Pura-pura bantu mangsa nahas sebelum larikan kenderaan

Kereta Honda CRV yang terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain dilarikan suspek di Jambatan Kuala Selangor menghala ke Klang di sini pada Sabtu.
Kereta Honda CRV yang terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain dilarikan suspek di Jambatan Kuala Selangor menghala ke Klang di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki nekad melarikan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV selepas berpura-pura membantu seorang wanita yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jambatan Kuala Selangor menghala ke Klang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian jam 2.58 petang itu berlaku apabila mangsa yang memandu CRV terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Mitsubishi Pajero.

Menurut Ramli, kenderaan dinaiki bersama ibunya itu dipercayai dilanggar Mitsubishi Pajero yang gagal membrek dan telah merempuh belakang kereta dipandu mangsa.

"Kemudian mangsa telah mengalihkan kenderaannya ke tepi untuk berbincang tanpa mematikan enjin kereta.

"Semasa mangsa berbincang dengan pemilik kenderaan yang melanggar keretanya, seorang lelaki tidak dikenali memakai pelitup muka datang ke arah mangsa," katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Ramli berkata, suspek yang berpura-pura ingin membantu mangsa tiba-tiba masuk ke dalam kereta dan terus melarikan kenderaan terbabit menghala ke Pekan Bestari Jaya.

"Kejadian itu disedari orang awam yang memaklumkan kepada mangsa kereta terbabit dijumpai di tepi jalan kawasan Taman Sirambai, Kuala Selangor," katanya.

Beliau memberitahu, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuat siasatan terhadap kenderaan dan tempat kejadian bagi menimbulkan cap jari suspek.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan tersebut menemui dokumen penting, bagaimanapun wang tunai telah hilang dipercayai dilarikan oleh suspek," ujarnya.

Ramli berkata, kenderaan terbabit telah dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.