UniKL juara Divisyen Premier LHM 2019

Pemain UNIKL Muhamad Hafiz Zainol (kanan) diasak pemain Maybank Muhammad Sulaiman Abdul Razak (kiri) pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Tengku Abdullah hari ini. - Foto Bernama
Pemain UNIKL Muhamad Hafiz Zainol (kanan) diasak pemain Maybank Muhammad Sulaiman Abdul Razak (kiri) pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia 2019 di Stadium Tengku Abdullah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) melakar sejarah apabila merangkul kejuaraan sulung saingan Divisyen Premier Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 selepas menewaskan Maybank 2-1 pada aksi pusingan liga di Stadium Tengku Abdullah, Bangi, dekat sini, hari ini.

Meskipun berbaki satu lagi perlawanan, jumlah 31 mata dikumpul hasil kemenangan itu sudah cukup membolehkan skuad kendalian Arul Selvaraj itu dinobatkan sebagai juara mengetepikan pencabar terdekat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ketinggalan empat mata di kedudukan kedua.

Dibarisi beberapa pemain kebangsaan dan pemain import antaranya bekas penjaga gol terbaik dunia dari Ireland, David John Harte, UniKL dikejutkan seawal minit keempat menerusi jaringan padang Mohamad Zulhamizan Awang Abas.

Tersentak dengan jaringan tersebut, UniKL bangkit melancarkan serangan bertali arus, namun tindakan cemerlang penjaga gol, Mohd Riduan Mohamad Nasir, berjaya menyelamatkan beberapa peluang jaringan UniKL termasuk percubaan dari pukulan sudut penalti.

UniKL, bagaimanapun, berjaya menghukum kealpaan benteng pertahanan Maybank dalam tempoh dua minit untuk menjaringkan dua gol menerusi jaringan padang Rafizul Ezry Mustafa pada minit ke-26 dan Valentin Verga, dua minit kemudian.

Sementara itu, Arul menyifatkan kejayaan yang diidamkan dalam tempoh sembilan tahun itu tidak akan hadir tanpa bantuan pelbagai pihak terutama barisan kepimpinan UniKL yang sentiasa memberikan sokongan padu.

Menurutnya, kecemerlangan dalam saingan liga itu akan diteruskan pada saingan Piala TNB yang akan bermula Selasa depan dalam usaha mempertahankan kejuaraan edisi lepas.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini dan UniKL sememangnya layak untuk bergelar juara selepas segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan semua pihak terutama kepimpinan UniKL.

Artikel Berkaitan:

“Untuk aksi seterusnya, kami akan menilai perlawanan hari ini terlebih dahulu serta melihat kepada kecederaan yang ada. Kami tetap akan turunkan skuad terbaik pada perlawanan akan datang sebagai persiapan menghadapi saingan Piala TNB,” katanya.

Sementara itu, Terengganu Hockey Team (THT) turut mencatat kemenangan 4-2 ke atas Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Gol THT dijaringkan Mohamad Shazwi Rani pada minit ketujuh menerusi jaringan padang, diikuti gol pukulan sudut penalti Faizal Saari (45’) serta dua jaringan padang masing-masing menerusi Gonzalo Merino (54’) dan Jung Manjae pada minit ke-60 sementara dua gol UiTM disumbangkan Mohd Azwar Abd Rahman pada minit ke-14 dan Muhammad Haikal Abd Muthalib pada minit ke-59.

Dalam pada itu, gol tunggal hasil pukulan sudut penalti Ismail Abu pada minit ke-24 membolehkan Nurinsafi/Kedah Hockey mencatat kemenangan tipis 1-0 menewaskan TNB Thunderbolts di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM). - Bernama