Sektor pelaburan MARA pelengkap ekosistem pembangunan Bumiputera

AAT turut menyediakan tempat bagi pelatih industri dalam bidang MRO aeroangkasa.
AAT turut menyediakan tempat bagi pelatih industri dalam bidang MRO aeroangkasa.
A
A
A

Matlamat MARA mewujudkan sektor pelaburan bukan sekadar untuk terlibat dalam perniagaan dan menjana pendapatan semata-mata, tetapi lebih daripada itu ia merupakan mekanisme penting sebagai pelengkap ekosistem penyampaian MARA.

Sejajar dengan perubahan ekosistem pelaburan negara, MARA kini memperkasa pelaburan strategik berteraskan keusahawanan, pendidikan dan perkhidmatan. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, MARA telah menggariskan agar aktiviti pelaburan yang digerakkan berperanan dalam tiga aspek utama iaitu pertama membangunkan aktiviti perniagaan dan industri; kedua, untuk mewujudkan kerjasama bersama industri strategik dan ketiga, berperanan dalam membangun dan mengendalikan latihan di institusi pendidikan.

Bagi memastikan usaha ini bergerak selari dengan aspirasi dan hala tuju MARA, sebuah syarikat induk pelaburan iaitu MARA Corporation Sdn. Bhd. (MARA Corp) berperanan bagi sama-sama menyusun strategi dan memangkin aktiviti pelaburan untuk menyokong mandat dalam memperkasa agenda ekonomi Bumiputera.

Pengerusi MARA Corp, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir berkata, MARA Corp. bertanggungjawab mencipta peluang pekerjaan, mewujudkan peluang perniagaan (bisnes) dan membangunkan peluang pemilikan ekuiti serta memastikan peningkatan penjanaan pendapatan syarikat subsidiari di bawahnya dalam memberikan pulangan pelaburan yang baik dan konsisten kepada MARA.

Menurutnya, MARA Corp. melalui syarikat subsidiarinya turut berperanan memberi penumpuan ke atas tujuh bidang fokus utama iaitu Pendidikan dan Pengurusan Bakat, Perkhidmatan Kewangan, Pengurusan Hartanah, Aeroangkasa, Pengangkutan dan Logistik, Peruncitan serta Perniagaan dan Perkhidmatan Industri.

“Kita turut memberi keutamaan untuk merangka program yang bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti pelaburan di peringkat bottom-line sahaja, tetapi juga akan mencetus penyertaan Bumiputera dalam industri tertentu selaras dengan pelan pembangunan modal insan MARA.

“Melalui strategi yang telah disusun semula, saya yakin MARA Corp. akan menjadi pemangkin kepada pembangunan programprogram industri berimpak tinggi yang akan dijalankan secara usaha sama dengan rakan-rakan industri yang lain di samping berupaya mencipta lebih ramai usahawan peneraju global serta meningkatkan pemilikan ekuiti kaum Bumiputera dalam sektor korporat,” jelasnya.

Aktiviti di bawah sektor pelaburan yang sedang dilaksanakan kini digerakkan untuk melengkapkan program pembangunan keusahawanan MARA. Inisiatif yang dilaksanakan termasuklah meneroka peluang pelaburan berpotensi dalam industri strategik bagi mendaya upayakan rantaian nilai industri sedia ada dan juga masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Salah satu cabang pelaburan untuk keusahawanan adalah dengan penubuhan F.I.T Center Sdn. Bhd. (FITEC) bagi tujuan meningkatkan perkembangan industri perabot negara melalui pembangunan usahawan dalam bidang ini. FITEC menyediakan latihan dan program pembangunan teknologi yang fokus kepada pengetahuan, kemahiran pakar dalam perusahan teknologi dan pengeluaran perabot.

Bantu usahawan

MARA Liner menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selesa terutamanya di luar bandar.
MARA Liner menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selesa terutamanya di luar bandar.

Selain itu, Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia Sdn. Bhd. (DDEC) dibangunkan dengan tujuan membantu usahawan dalam industri rekaan dan rekacipta di pelbagai peringkat dalam membangun dan memajukan produk serta perkhidmatan mereka melalui inovasi rekaan sebagai medium pengkomersialan sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Pelbagai aktiviti pelaburan juga telah dilaksanakan untuk melengkapkan program pendidikan MARA. Antaranya,meneroka dan menggerakkan inisiatif bagi mewujudkan kerjasama strategik dengan syarikat dan peneraju teknologi terkini di bawah program TVET MARA.

Bidang-bidang tumpuan adalah seperti Aeroangkasa, Automasi, Robotik, Realiti Maya, (Virtual Reality), ICT dan lain-lain. Selain itu, usaha turut dilakukan dalam mengadakan kerjasama dengan badan bertauliah untuk menambah bilangan profesional Bumiputera seperti akauntan bertauliah oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Jurutera Profesional atau Ingenieur (IR).

Menurut Dr Syed Muhamad, contoh kejayaan sektor pelaburan dalam melengkapkan program pendidikan MARA adalah dengan penubuhan Asia AeroTechnic Sdn.Bhd (AAT).

Syarikat ini bukan sahaja berjaya menjalankan aktiviti menyelenggara dan membaik pulih (MRO) pesawat sehingga menembusi pasaran Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Eropah, tetapi turut berperanan melatih dan memberi pendedahan kepada seramai 1,320 pelajar latihan industri khususnya dari Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan berjaya menghasilkan 23 orang Licensed Aircraft Maintenance Engineers (LAME).

Selain itu, sektor pelaburan MARA juga berperanan sebagai pelengkap kepada industri sedia ada bukan untuk bersaing dengan mana-mana syarikat Bumiputera yang lain. Umpamanya penglibatan MARA dalam bidang pengangkutan darat melalui MARA Liner bukanlah berorientasikan keuntungan, malah turut menggalas tanggungjawab sosial khususnya kepada penduduk luar bandar.

MARA Liner menyediakan pengangkutan bas luar bandar dan ekspres yang telah memberi manfaat kepada lebih 1.5 juta penumpang setahun dengan jumlah laluan sebanyak 112 laluan tertumpu kepada kawasan luar bandar yang tidak menguntungkan untuk operator industri pengangkutan lain beroperasi.

Pengerusi MARA Corp, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir.
Pengerusi MARA Corp, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir.

Pendekatan ini membolehkan kerajaan mewujudkan jaringan laluan pengangkutan awam di lokasi dengan kepadatan penduduk yang rendah tetapi masih memerlukan mobilisasi sosial yang terbaik. Bahkan perkhidmatan bas ekspres MARA Liner juga berperanan menghubungkan kawasan luar bandar seperti Bandar Penawar, Chini, Muadzam Shah dan pelbagai lokasi lain ke pusat-pusat bandar.

Bagi memastikan fungsi dan aktiviti berjalan dengan baik, sektor ini turut memberi penekanan kepada amalan tadbir urus korporat terbaik dilaksanakan oleh semua syarikat subsidiari.

Keutamaan syarikat subsidiari MARA dalam menjunjung nilai integriti yang tinggi serta membudayakan prinsip membenci dan menolak rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melalui beberapa inisiatif antaranya Integrity and Governance Unit (IGU) sebagai salah satu mekanisme tatacara mencukupi bagi mematuhi Liabiliti Korporat di bawah Seksyen 17(A) Akta SPRM.

“Sektor Pelaburan MARA akan terus berperanan sebagai tulang belakang kepada aktiviti keusahawanan dan pendidikan MARA bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera sekali gus menyokong penyampaian tugas MARA sebagai pemaju sosioekonomi.

“Dalam hal ini, MARA Corp. sentiasa terbuka dan bersedia mendapat pandangan dari mana-mana pihak untuk mempertingkatkan lagi strategi, program dan aktivitinya untuk mencapai objektif-objektif yang telah dirangka,”, kata Dr Syed Muhamad.