MARA: Kesinambungan 55 tahun perjuangan dalam pembangunan negara

Muka depan Sinar Harian
Muka depan Sinar Harian
A
A
A

Sejarah panjang penubuhan MARA bermula sejak tahun 1950 lagi ketika RIDA ditubuhkan. MARA merupakan kesinambungan RIDA yang diwujudkan untuk memperhebatkan usaha membangunkan kaum Bumiputera terutamanya di luar bandar melalui aktiviti perdagangan dan perindustrian.

Selepas 55 tahun tertubuhnya organisasi keramat ini, jutaan warga Bumiputera telah mendapat manfaat dari program dan aktiviti yang telah dilaksanakan oleh MARA. Melihat ke hadapan, MARA terus merencana untuk membawa Bumiputera dan negara ke tahap yang lebih tinggi sesuai dengan amanah rakyat yang tergalas melalui mandat yang diperuntukkan dalam Akta MARA 1966.

Ikuti temu bual khas bersama PENGERUSI MARA, DATUK AZIZAH MOHD DUN.

SINAR HARIAN: Boleh terangkan mandat penubuhan MARA dan peranannya?

Mandat penubuhan MARA perlu dilihat dari asas penubuhan RIDA sebelum zaman kemerdekaan. RIDA ditubuhkan dengan peranan untuk membangun kawasan luar bandar sama ada dari aspek sosial, pendidikan, kemudahan asas dan perindustrian. Hasil daripada kongres ekonomi Bumiputera yang pertama telah membawa kepada cadangan penubuhan MARA.

Melihat kepada mandat penubuhan MARA, dinyatakan secara jelas dalam akta bahawa “Adalah menjadi kewajipan MARA untuk memajukan, menggalakkan, memudahkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Malaysia dan khususnya bagi kawasan-kawasan luar bandar".

Penubuhan MARA seperti yang ditekankan oleh Tun Razak adalah ia dibangunkan dengan nafas baru dengan mandat yang lebih besar untuk melaksanakan tanggung jawab sebagai sebuah agensi yang menyusun semula struktur sosioekonomi masyarakat (socioeconomic enginering agency).

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, MARA telah diamanahkan menjadi antara agensi penting untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan agenda mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) Berpaksikan kepada mandat inilah, MARA pada hari ini merencana program dan aktiviti seiring dengan tuntutan semasa dalam memenuhi harapan Bumiputera dan pembangunan negara.

Kita perlu akui berlaku perubahan besar dalam fasa pembangunan negara sejak awal kemerdekaan sehingga ke hari ini. Maka peranan MARA pada hari ini perlu dilihat dalam konteks semasa berdasarkan mandat yang telah digariskan oleh Akta MARA serta peruntukan yang diluluskan oleh agensi pusat.

Penekanan ini juga turut diterjemahkan dalam Akta MARA 1966 khususnya di bawah Seksyen 6 (2(a) hingga 2(f)) akta sama yang memperincikan peranan ini di mana empat perkara utama yang membentuk tunjang mandat MARA secara amnya adalah bagi membangunkan aktiviti ekonomi, keusahawanan dan perindustrian (Seksyen 6(2)(a)-(d). Manakala peranan MARA bagi menubuhkan institusi latihan dan pendidikan hanyalah dinyatakan di akhir sub perenggan 2 (e) seksyen yang sama.

Ia memberi maksud bahawa peranan serta mandat MARA juga seharusnya dilihat luas dalam bentuk yang substantif dari aspek ekonomi, perusahaan dan perniagaan kerana bukan sahaja ia dibenarkan oleh akta MARA malah ia merupakan “mandat asal” penubuhan MARA.

Mandat inilah yang dibawa oleh MARA sejak lebih lima dekad penubuhannya. MARA bukan sekadar terlibat dalam bidang-bidang konvensional, bahkan terlibat dalam industriberimpak tinggi dan berinovatif. Usaha ini saya lihat adalah bertepatan dan sejajar dengan kerangka pembangunan ekonomi negara untuk MARA terus menyumbang secara signifikan ke arah pemerkasaan dan pembangunan ekuiti Bumiputera.

DATUK AZIZAH MOHD DUN
DATUK AZIZAH MOHD DUN

SINAR HARIAN: Bagaimana perancangan MARA untuk pembangunan Bumiputera akan datang?

Bagi meneruskan mandat dalam membangunkan masyarakat Bumiputera dan aspirasi MPPB, baru-baru ini MARA telah merencana strategi pelan jangka panjang melalui PSM 2021-2025 merangkumi dimensi baharu, teras, strategi dan keberhasilan (outcome) program dengan mengambil kira cabaran ekonomi dan senario politik semasa negara. PSM fokus dalam mengembangkan komuniti Bumiputera melalui program keusahawanan yang dinamik, memperkasakan pelaburan strategik, membangunkan modal insan yang kompetitif dan memperkukuh sistem penyampaian dan perkhidmatan.

Hala tuju strategik ini memberi fokus kepada penciptaan ekosistem yang kondusif dan holistik dengan memberi penekanan kepada 4 Teras utama yang meliputi empat (4) sektor MARA iaitu Keusahawanan, Pendidikan, Pelaburan dan Khidmat Pengurusan, 17 strategi merangkumi keseluruhan sektor tersebut serta 22 indikator keberhasilan (outcome).

Teras pertama adalah membangunkan komuniti keusahawanan yang dinamik dengan mengenal pasti lima strategi untuk melestarikan usahawan yang mampan, melonjakkan kapasiti perniagaan berteraskan industri strategik, membangunkan usahawan baru yang kompeten, mewujudkan usahawan peneraju industri dan memantapkan ekosistem keusahawanan yang kondusif.

Teras kedua bertujuan untuk menyumbang ke arah mewujudkan sumber tenaga manusia yang bersifat holistik melalui pelaksanaan program berimpak tinggi untuk menghasilkan modal insan yang kompeten, berkualiti, dan memenuhi keperluan industri serta memupuk keusahawanan di kalangan pelajar.

Teras ketiga bertujuan untuk memperkasakan pelaburan strategik berdasarkan keusahawanan, pelaburan dan perkhidmatan. Sektor Pelaburan akan memberi tumpuan kepada penglibatan ekonomi dalam memperkukuhkan aktiviti utama organisasi melalui empat strategi, iaitu meneroka peluang pelaburan berpotensi dalam industri strategik bagi mendaya upaya rantaian nilai industri, memperkukuh inisiatif aset bukan kewangan, menyumbang kepada kelestarian aktiviti MARA dan memperkukuhkan jaringan hubungan antara bandar dan luar bandar.

Teras keempat bertujuan untuk memantapkan sistem penyampaian dan tadbir urus untuk memastikan bahawa perkhidmatan yang diberikan oleh MARA cekap, telus dan berkesan. Empat strategi akan ditekankan iaitu memperkasa profesionalisme dan integriti modal insan, memanfaatkan teknologi terkini dalam ekosistem perkhidmatan, membudaya norma kerja baharu dan mengutamakan ‘Amanah Rakyat’ sebagai identiti organisasi.

Tahun 2021 adalah lanjutan dari cabaran getir tahun 2020, dengan negara kita menghadapi situasi ekonomi yang mencabar kerana pandemik Covid-19 yang menyebabkan perniagaan mengalami kerugian, suasana pengajaran dan pembelajaran juga terjejas. PSM yang dirangka dengan mengambil kira cabaran ekonomi dan senario politik semasa negara ini merupakan satu penyelesaian yang lebih holistik dan lestari untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera pada masa hadapan.

Pelan ini juga merangkumi keseluruhan operasi MARA yang akan dilaksanakan selaras dengan Wawasan kemakmuran Bersama 2030. Di sinilah MARA akan berperanan untuk mengisi kelompangan dalam membina SME berskala besar demi kelangsungan penglibatan usahawan dalam industri berimpak tinggi.

Salah satu fungsi sektor pelaburan dalam membangunkan industri aeroangkasa
Salah satu fungsi sektor pelaburan dalam membangunkan industri aeroangkasa

SINAR HARIAN: Adakah MARA telah berjaya memenuhi mandat yang diamanahkan?

Selama lebih dari lima dekad ini, MARA telah memainkan peranan penting dalam memperkasakanmasyarakat Bumiputera melalui pembangunan sosio-ekonomi, terutama dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Usaha ini disokong dengan sektor khidmat pengurusan yang menguruskan operasi MARA di dalam dan luar negara. Buat masa ini, MARA mempunyai sejumlah 573 pusat pentadbiran dengan jumlah kakitangan 18,876. Program keusahawanan MARA telah memberi manfaat kepada seramai 836,347 orang dari aspek pengetahuan dan kemahiran melalui Program Latihan Keusahawanan, 256,777 usahawan telah menerima kemudahan pembiayaan perniagaan dan sebanyak 7,271 lot ruang niaga diwujudkan untuk dimanfaatkan oleh usahawan.

Dari semasa ke semasa, program keusahawanan MARA sentiasa diperkemaskan dengan menumpukan pembangunan usahawan mengikut kategori atau teras iaitu Teras 1 (Protect):

Kelestarian usahawan sedia ada, Teras 2 (Scale Up): Pertumbuhan perniagaan dan Teras 3 (Start Up): Melahirkan usahawan baharu. Pada masa yang sama, MARA menyediakan pelbagai platform perniagaan untuk usahawan termasuklah infrastruktur perniagaan. Umpamanya MARA Digital, MARA tidak terlibat secara langsung dalam perniagaan tersebut, akan tetapi peranan MARA lebih tertumpu kepada penyediaan infrastuktur perniagaan dan pembiayaan sahaja.

Program pendidikan MARA turut memberi impak yang besar kepada pembangunan modal insan negara. Seramai 1.445 juta pelajar pernah mendapat manfaatdaripada program penganjuran pelajaran MARA sejak ia dimulakan. Seramai 178,644 orang pelajar telah mendapat pendidikan menengah terbaik di MRSM.

Manakala program TVET MARA telah melahirkan seramai 649,338 modal insan berkemahiran dalam pelbagai bidang. Tidak hanya dikenali sebagai agensi yang sinonim dalam membangunkan program-program TVET, MARA juga mempunyai Institusi Pendidikan Tinggi lain yang menawarkan pengajian dalam pelbagai bidang pengurusan dan profesional seperti di Kolej Profesional MARA yang telah melahirkan 26,489 graduan dan Kolej PolyTech MARA yang telah melahirkan 48,642 graduan.

Sektor khidmat pengurusan MARA pula memainkan peranan penting untuk memastikan keseluruhan jentera pentadbiran MARA bergerak seiring dengan program dan strategi yang telah digariskan. Ditunjangi falsafah amanah rakyat, MARA tidak pernah berkompromi dalam isu integriti dan sentiasa memberi keutamaan dalam pembangunan warga MARA supaya terus kompeten dalam melaksanakan amanah.

Pencapaian ini merupakan usaha secara konsisten yang bermula dari mandat MARA serta aspirasi yang telah digariskan oleh pemimpin terdahulu. Ekosistem pembangunan Bumiputera ini menjadi lebih efektif dengan wujudnya mekanisme pelaburan dalam pelbagai bidang baharuserta usaha niaga yang membuka laluan luas untuk Bumiputera terus berdaya maju.

SINAR HARIAN: Adakah MARA perlu meneruskan penglibatan dalam aktiviti pelaburan dan perniagaan?

Sektor pelaburan MARA dibangunkan untuk menyokong dan melengkapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan MARA. Kini MARA telah mempunyai 16 anak syarikat aktif, satu syarikat induk, satu syarikat jaminan terhad dan dua syarikat bersekutu yang terlibat dalam pelbagai sektor industri terpilih.

Matlamat utama sektor ini bukan sekadar terlibat dalam perniagaan sematamata tetapi lebih kepada meneroka industri baharu dengan kerjasama pemain industri utama dan teknologi. Melalui pelaburan MARA juga, ia dapat mempelbagaikan penjanaan sumber MARA yang akan digunakan semula bagi menggerakkan program keusahawanan dan pendidikan MARA.

Memang ada pihak yang mempunyai persepsi bahawa MARA tidak sepatutnya terlibat di dalam aktiviti perniagaan seperti mana yang dilaksanakan melalui syarikatsyarikat subsidiarinya lantaran majoriti pegawai-pegawai MARA tidak mempunyai pengalaman di dalam bidang perniagaan.

Namun, tanpa boleh dinafikan hakikat sebenarnya objektif penubuhan MARA ialah bukan sahaja untuk organisasi ini membimbing dan membangunkan Bumiputera, tetapi juga untuk turut sama terlibat sebagai pemain industri dan membuka lebih banyak peluang penyertaan kepada usahawan Bumiputera di dalam industri di mana MARA terlibat.

Bagi mengatasi kekurangan pengalaman di kalangan pegawai kita dalam mengendalikan perniagaan, penglibatan MARA sebagai pemain industri dilaksanakan melalui kerjasama dan kolaborasi dengan pemain industri lain yang sebahagiannya merupakan usahawanusahawan yang pernah mendapat manfaat dari MARA sendiri. Kerjasama ini diharap dapat menyokong program-program yang dirangka dalam industri di sepanjang rantaian bekalan dalam mewujudkan ekosistem yang mampan.

MARA juga sentiasa meneroka peluang pelaburan berpotensi dalam industri strategik yang berimpak tinggi seperti program aeroangkasa, robotik, virtual reality dan lainlain bagi mendaya upaya rantaian nilainya di samping mengoptimumkan aset bukan kewangan dalam ekosistem MARA bagi memantapkan sosioekonomi Bumiputera secara berterusan.

SISIS
SISIS

SINAR HARIAN: Ada yang mengatakan MRSM telah lari daripada aspirasi asal penubuhannya?

Penubuhan MRSM bukanlah sekadar untuk melahirkan pelajar terbaik dari aspek akademik semata-mata tetapi ia perlu dilihat dari sejarah penubuhan sehingga kepada keperluan semasa dan perkembangan MRSM yang terus berevolusi hingga ke hari ini. Idea penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tercetus hasil daripada Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan pada bulan Jun 1965 di Kuala Lumpur.

Antara hasrat yang dilahirkan dalam kongres ini adalah hendak memperbanyakkan lagi bilangan Bumiputera yang bertauliah di bidang ilmu sains dan hisab. Manakala dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang kedua pada 1968 telah mencadangkan supaya mewujudkan sekolah atau kolej rendah dan pra-universiti untuk menyediakan penuntut-penuntut Bumiputera memasuki kolej-kolej atau universiti-universiti di dalam atau luar negara.

Sejajar dengan hasrat dan keperluan itulah maka MRSM telah ditubuhkan dengan permohonan kepada kerajaan melalui kertas kerja yang dinamakan ‘Batek Paper’. Pada tahun 1970, pihak kerajaan telah memberikan persetujuan penubuhan MRSM dengan objektif mengupayakan pelajar luar bandar melalui akses pendidikan berkualiti dengan memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti Sistem Pendidikan MRSM.

MRSM terus berkembang dan kini telah pun berjumlah 55 buah yang dapat menampung hampir 37 ribu pelajar dalam satu-satu masa. Kita dalam perancangan untuk menubuh 7 buah lagi MRSM yang kesemuanya di luar bandar dan dua buah MRSM baru telah pun siap dan akan dibuka di waktu terdekat iaitu di Bera dan Bagan Datuk. Pembinaan MRSM di luar bandar ini akan memudahkan masyarakat berhampiran untuk belajar di MRSM dan dalam masa yang sama turut memberi limpahan ekonomi kepada ekonomi rakyat.

Kini MARA turut menetapkan dasar untuk memastikan sekurang-kurangnya 60% pengambilan pelajar masuk ke MRSM adalah terdiri daripada golongan SES rendah atau B40 sama ada di bandar mahu pun luar bandar. MARA juga mengambil kira keperluan Bumiputera yang kurang berkemampuan (B40) dengan menyediakan bantuan kewangan.

Bantuan kewangan ini bermula dari pendidikan menengah yang mana MARA memperkenalkan program BUDI bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mendapat keputusan cemerlang dalam akademik. Pelajarpelajar ini diberi peluang untuk mendapatkan pendidikan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dengan segala kos kemasukan dan elaun bulanan ditanggung oleh pihak yang terlibat.

Pada masa ini, sebanyak 6 penaja telah melibatkan diri dalam menaja pendidikan para pelajar di MRSM dengan melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4.3 juta yang memberi manfaat 3,077 pelajar BUDI. Antara penaja yang terlibat dalam program BUDI MARA adalah Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Pusat Zakat Selangor (PZS), Takaful Malaysia, Celcom dan lain-lain.

MARA akan memastikan MRSM terus bergerak dilandasannya dan memenuhi aspirasi asal penubuhan. Program ini telah memberi impak yang besar kepada masyarakat Bumiputera untuk menjadikan pendidikan sebagai salah satu kaedah pembasmian kemiskinan dan dalam masa yang sama menyumbang ke arah melahirkan modal insan demi pembangunan negara.