Penyeludup guna teknologi canggih terobos sempadan

Polis menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas.
Polis menunjukkan antara rokok seludup yang dirampas.
A
A
A

BARU-BARU ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus operandi sindiket rokok seludup semakin licik untuk melepasi langkah-langkah penguatkuasaan menerusi laluan logistik baharu dan teknologi canggih di sempadan negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar dilaporkan berkata, sindiket penyeludupan yang beroperasi di sepanjang sempadan negara sekarang telah bertukar daripada menggunakan peralatan konvensional kepada teknologi canggih seperti dron.

Persoalan besar ialah bagaimana pasukan penguat kuasa negara perlu dilengkapkan dengan kelengkapan canggih untuk mengawal kawasan sempadan.

Masalah kelengkapan pasukan penguatkuasaan ini tidak akan selesai. Tidak ketika negara menumpukan sepenuh sumber untuk memerangi pandemik Covid-19. Baik wang, mahupun tenaga penguatkuasaan perlu dikerah mengadakan pemeriksaan dan sekatan jalan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Namun, kepentingan menjaga pintu masuk negara masih termasuk dalam ruang lingkup PKP kerana tiada orang asing mahupun orang tempatan dibenarkan keluar masuk pada masa ini.

Dilema seumpama ini tidak eksklusif kepada Malaysia sahaja. Negara maju seperti Amerika Syarikat pada awal perang melawan penyeludupan dadah dari Amerika Selatan pada tahun 1980-an turut berdepan dengan serba kekurangan.

Pasukan penguat kuasa seperti Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan sebagainya mendapati mereka sentiasa selangkah di belakang pengedar dan penyeludup dadah yang dilengkapi bot laju dan pesawat persendirian yang boleh terbang di bawah radar.

Setelah pengedaran dadah menjadi kronik dengan bilangan penagih jalanan begitu tinggi di bandar-bandar AS dan disusuli pula pertempuran kartel berebut wilayah yang mengorbankan banyak nyawa, baharulah Senat AS membuat keputusan drastik meluluskan dana bagi meningkatkan kelengkapan ejen-ejen DEA, FBI dan lain-lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam konteks Malaysia, situasi Covid-19 sangat menyulitkan ketika impaknya amat dirasai di dalam ekonomi dan memerlukan kerajaan membuat keputusan yang bijak iaitu sementara fokus kepada pandemik, sempadan negara harus juga dijaga tidak dibolosi. Ini kerana bila dibolosi penyeludup, bermakna hasil cukai juga hilang untuk negara.

Sebuah kumpulan advokasi yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada jenayah, Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan Cawangan Malaysia (RTBA Malaysia) mendapati penyeludup menjadi ‘kreatif’ disebabkan keberkesanan langkah penguatkuasaan lebih ketat di sempadan negara, susulan Belanjawan 2021.

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin berkata, berdasarkan analisis mendapati pelabuhan-pelabuhan besar di Malaysia sebelum ini menjadi laluan utama perdagangan rokok seludup namun penyeludup kini mula menukar strategi mereka.

“Dengan sekatan terbaharu dilaksanakan, para penjenayah kini menggunakan jeti persendirian kecil dan tapak mendarat tidak rasmi di seluruh kawasan pantai Malaysia untuk menyeludup produk tidak dicukai dan haram mereka,” katanya.

Infografik penyeludupan rokok melalui perairan Malaysia.
Infografik penyeludupan rokok melalui perairan Malaysia.

Pihak berkuasa merampas sejumlah 76.2 juta batang rokok seludup yang dibawa masuk melalui laluan perairan pada suku pertama 2021 ini sahaja.

Fazli berkata, ini menandakan lonjakan besar bila dibandingkan hanya 34 juta batang rokok seludup yang dirampas pada tahun 2020.

“Jelas, peningkatan besar penyeludupan di perairan negara menunjukkan penjenayah menukar modus operandi mereka dan membina eko sistem logistik baharu yang mengambil kesempatan daripada perairan Malaysia yang luas dan kurang kawalan keselamatan.

“Laluan perairan memerlukan penyelarasan kerana banyak jenis pengangkutan digunakan. Kapal kargo besar digunakan bagi mengangkut rokok haram dari pelbagai negara di perairan antarabangsa, manakala bot lebih kecil digunakan bagi membawa masuk barangan ke perairan Malaysia.

“Bot nelayan dan bot laju, kemudiannya akan mengambil barangan tersebut di luar pesisir dan membawa mereka ke daratan di kawasan pantai yang tidak dikawal,” jelas Fazli.

Harga semasa rokok sah

Terdapat beberapa pilihan di sini. Pertama, tambah baik peralatan pasukan keselamatan negara dan kedua, mengubah dasar yang boleh menghapuskan permintaan terhadap produk seludup terutama rokok.

Permintaan bagi rokok seludup murah akan berterusan di tahap tinggi kerana rokok sah sekarang sangat mahal. Dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil akibat Covid-19, rakyat akan mengutamakan produk murah walaupun tidak sah.

Sindiket jenayah biasanya akan mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi ini dan melakukan apa sahaja untuk mengaut keuntungan besar, sekali gus menjejaskan hasil kerajaan dan merosakkan ekonomi negara.

Rokok seludup yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa dalam satu operasi.
Rokok seludup yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa dalam satu operasi.

Lebih banyak sumber dan perhatian diperlukan untuk mengawal perairan di seluruh negara. Sama seperti sindiket jenayah tersebut, agensi penguatkuasaan kita juga perlu mengguna pakai teknologi baru dan menggunakan kaedah inovatif untuk berada selangkah di hadapan mereka.

Polisi-polisi bagi menangani jurang harga yang besar antara rokok sah dan seludup perlu dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan.

Belanjawan 2022 yang akan datang hendaklah memasukkan perubahan pintar yang menangani faktor permintaan supaya sindiket jenayah ini akan mendapati penyeludupan rokok tidak lagi menguntungkan.