Kanak-kanak maut dilanggar kereta

Kereta yang dipandu wanita telah melanggar seorang kanak-kanak lalu merempuh sebuah rumah.
Kereta yang dipandu wanita telah melanggar seorang kanak-kanak lalu merempuh sebuah rumah.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang kanak-kanak perempuan maut apabila dilanggar sebuah kereta sebelum merempuh sebuah rumah petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa Annur Sumayyah Syabandi disahkan meninggal dunia dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita telah melanggar mangsa dan merempuh sebuah rumah di Rumah Panjang Tanjung Tokong di sini.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati pemandu kereta tersebut terpijak pedal minyak sewaktu mengundur kenderaannya lalu melanggar mangsa. Kereta itu kemudiannya turut merempuh masuk halaman salah sebuah rumah di kawasan perumahan tersebut.

"Mangsa yang dibawa oleh ambulans telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HPP. Hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 5.30 petang tadi mendapati, mangsa meninggal dunia kerana parah di bahagian kepala," katanya ketika dihubungi tadi.

Kereta yang dipandu seorang wanita dipercayai mengundur lalu melanggar mangsa.
Kereta yang dipandu seorang wanita dipercayai mengundur lalu melanggar mangsa.

Che Zaimani berkata, pemandu kereta berusia 35 tahun itu ditahan untuk ujian saringan air kencing dan membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kereta milik wanita yang merupakan jurujual di sebuah pasaraya dan berasal dari Sik, Kedah itu dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan.

"Polis akan mengenal pasti saksi bebas untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.