Ada pro, ada kontra

Status Cools bersama skuad Harimau Malaya masih mencetuskan tanda tanya sehingga kini.
Status Cools bersama skuad Harimau Malaya masih mencetuskan tanda tanya sehingga kini.
A
A
A

KEHADIRAN pemain kacukan, Johan Dion Cools dianggap mampu memberi ‘nilai tambah’ kepada skuad Harimau Malaya dalam menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Namun, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim melihat Cools mungkin berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Harimau Malaya disebabkan kekangan masa.

“Saya sememangnya bersetuju jika ramai pemain kacukan berada dalam pasukan Harimau Malaya, ditambah pula dengan kehadiran pemain hebat seperti Cools.

“Namun, apa yang menjadi masalah, adakah dia akan dapat serasi dengan corak permainan dalam masa yang singkat ini memandangkan pasukan juga sudah berlatih bersama lebih kurang dua minggu.

“Lagipun, di posisi pertahanan kanan itu kita dah ada beberapa pemain yang bagus seperti Matthiew Davies, Rizal Ghazali dan Syahmi Safari.

“Lainlah jika Cools itu beraksi di bahagian tengah atau penyerang kerana saya percaya posisi tersebut mungkin lebih diperlukan ketika ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Kehadiran Cools bagi memperkuatkan Harimau Malaya mula mencetuskan tanda tanya apabila pemain kelahiran Sarawak berusia 24 tahun itu dilapor telah mendapat pelepasan kelabnya, FC Midtylland.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Irfan Bakti turut mengakui sesuatu yang janggal jika Cools terus diturunkan beraksi dalam kempen kelayakan itu sekiranya benar dia akan menyertai Harimau Malaya.

“Bagi saya tidak munasabah kalau terus bagi main. Belum pernah dibuat orang, lainlah kalau dia sudah diuji ketika menentang Kuwait dan Bahrain dalam perlawanan persahabatan.

“Mungkin dia mempunyai saiz baik dan kelebihan dari segi pengalaman beraksi di luar negara tetapi kalau dia masuk dan terus diberikan tempat, saya rasa ia bukan satu tindakan yang tepat.

“Namun, mungkin coach Tan Cheng Hoe ada perancangan beliau yang tersendiri. Beliau juga mungkin sudah memikirkan semasak-masaknya. Kita tunggu dan lihat sahaja,” ujarnya.