'Minta ketuk pintu ASTAF'

ASTAF mengenakan hukuman penggantungan 17 tahun ke atas Ahmad.
ASTAF mengenakan hukuman penggantungan 17 tahun ke atas Ahmad.
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) diminta segera mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi mendapatkan semula pengiktirafan sebagai ahli gabungan badan induk Asia itu.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, PSM sukar untuk meneruskan aktiviti yang sedang mahupun telah dirancang tanpa pengiktirafan daripada ASTAF.

Malah, Abdul Halim menegaskan, sukan sepak takraw Malaysia bakal terpinggir di peringkat antarabangsa sekiranya tiada sebarang penyelesaian dibuat pihak PSM dalam masa terdekat.

“PSM sudah hilang sokongan majoriti daripada ahli badan gabungan mereka. Jadi agak sukar untuk meneruskan aktiviti jika PSM sedia ada masih diteruskan. Perkara ini jelas satu penganiayaan kepada sukan sepak takraw Malaysia.

“Jadi tidak ada cara lain melainkan perlu ditubuhkan konfederasi (baharu) sepak takraw Malaysia. Konfederasi berkenaan perlu didaftarkan dengan Pesuruhjaya Sukan dengan segera bagi mendapatkan pengiktirafan dan bergabung sebagai anggota ASTAF.

“Dengan pengiktirafan itu, sepak takraw Malaysia boleh terus diperkembangka kerana masyarakat antarabangsa masih menghormati Malaysia sebagai gergasi sepak takraw dunia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Pada 20 Mei lalu, Jawatankuasa Disiplin ASTAF (ASTAFDP) membuat keputusan menyingkirkan PSM sebagai ahli gabungan ASTAF berkuatkuasa serta-merta.

Hukuman itu diputuskan atas salah laku Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, PSM diberikan tempoh rayuan selama 14 hari iaitu sehingga 3 Jun ini bagi menjawab segala pertuduhan yang dikenakan ASTAFDP.

Mengulas mengenai penggantungan 17 tahun ke atas Ahmad atau mesra disapa Tok Mat, Abdul Halim berkata, semua pihak harus akur dengan hukuman itu yang telah diputuskan ASTAFDP.

“Beliau sudah diberikan peluang untuk membuat rayuan, tetapi sehingga ke hari ini, peluang itu tidak dimanfaatkan oleh Ahmad, jadi saya tidak boleh buat apa-apa lagi

“Begitulah keadaannya. Dia dah diberi peluang merayu, dia tak mahu ambil peluang. Degil. Tapi apa boleh kami buat? Ini peluang terbaik. Merayulah dan ketuk pintu ASTAF, tetapi semua ini tidak mahu dibuat.

“Dalam tempoh rayuan itu pun beliau tidak endahkan arahan. Sebaliknya, beliau terus mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PSM baru-baru ini yang dihadiri wakil dari Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Angkatan Tentera Malaysia (PDRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Melaka dan Pulau Pinang.

“Saya diberitahu mengenai perkara itu oleh mereka yang hadir. Adakah tindakan itu betul? Mungkin dia juga terlupa, kami juga ada beberapa tuduhan lain yang sedang menunggu untuk diberikan kepadanya,”ujarnya