Hanya fokus tengah padang

Skuad Harimau Malaya giat berlatih di Manama pada Khamis. - Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya giat berlatih di Manama pada Khamis. - Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu terlalu memikirkan keputusan pemotongan mata yang telah diputuskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sebaliknya, beliau mahu barisan pemainnya terus fokus dan memberikan yang terbaik di tengah padang dalam baki tiga aksi Kumpulan G menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand.

“Memang kita tahu keputusan yang diputuskan FIFA itu dan ia sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang situasi sekarang ini. Apa yang penting, saya nasihatkan kepada para pemain perlu fokus dalam perlawanan akan datang.

“Apa jua keputusan yang telah diputuskan FIFA, kita tetap kena teruskan perjuangan kita ini kerana tiga baki perlawanan ini cukup penting untuk pasukan dan penyokong setia bola sepak negara,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.

Pada Khamis, FIFA telah membuat keputusan untuk tidak mengira mata pasukan yang berada di kedudukan kedua semasa mereka menentang pasukan di kedudukan kelima peringkat kumpulan untuk pengiraan empat pasukan naib juara terbaik.

Mekanisme yang dibuat FIFA itu susulan penarikan diri Korea Utara daripada kempen kelayakan tersebut, sekali gus dianggap keputusan terbaik kepada kesemua pasukan yang bertanding.

Ia menyaksikan kemenangan Harimau Malaya ke atas Indonesia dalam dua perlawanan kumpulan tidak akan dikira jika mereka menamatkan pusingan kelayakan itu di tangga kedua Kumpulan G.

Kedudukan akhir selepas tiga baki perlawanan akan menentukan haluan Harimau Malaya - sama ada layak terus ke peringkat kumpulan Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 atau perlu melalui pusingan playoff terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Cheng Hoe menyifatkan keputusan FIFA itu kembali membuka peluang kepada setiap pasukan dalam kumpulan, namun tetap komited peluang Harimau Malaya untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Kalau atas kertas, sudah tentu paling selamat adalah kena menang semua perlawanan. Tetapi sudah tentu bukan kita saja pasukan yang nak menang. Semua pasukan juga mahu meraih tiga mata.

“Kita perlu bekerja keras sekiranya mahu layak ke peringkat seterusnya. Namun, ia bukanlah satu tekanan terlalu tinggi, sebaliknya saya sebagai jurulatih dan semua pemain melihat ia sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi,” jelasnya.