Polis Selangor buat laporan libat gambar, video rampasan senjata tular

Antara gambar lama yang kembali tular di media sosial beberapa hari lalu. Gambar kecil: Arjunaidi Mohamed
Antara gambar lama yang kembali tular di media sosial beberapa hari lalu. Gambar kecil: Arjunaidi Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Kontinjen Selangor membuat laporan berkaitan penyebaran gambar dan video klip yang menunjukkan pelbagai jenis senjata yang dirampas oleh pihaknya dalam media sosial baru-baru ini.

Gambar dan video klip tersebut telah didakwa hasil rampasan dari gudang penyimpanan senjata haram.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan beberapa keping gambar dan video klip yang telah tular melalui platform media sosial.

"Hasil penelitian pihak polis mendapati bahawa video klip yang ditularkan tersebut adalah pada sidang media yang dibuat oleh Polis Kontinjen Selangor pada 30 Julai 2020, sementara gambar rampasan senjata pula adalah gambar-gambar rampasan senjata di Kontinjen Kedah pada tahun 2014.

"Perbuatan mengaitkan video klip sidang media Polis Kontinjen Selangor dengan gambar rampasan senjata di Kontinjen Kedah dan kemudiannya mendakwa rampasan tersebut mempunyai kaitan dengan pengganas komunis dan LTTE (The Liberation Tigers of Tamil Eelam) adalah satu perbuatan yang tidak berasas serta boleh mengakibatkan ketakutan dan menyebabkan ketenteraman awam tergugat," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat kesimpulan sendiri berkaitan sesuatu isu yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Polis Kontinjen Selangor telah membuat satu laporan polis berkaitan isu ini dan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Mengikut peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tular di media sosial menunjukkan pelbagai jenis senjata yang didakwa dirampas oleh polis.

Ia didakwa hasil rampasan dari gudang penyimpanan senjata haram.