Percepat pemberian vaksin apabila total lockdown

Gambar kecil: Sohaimi
Gambar kecil: Sohaimi
A
A
A

PETALING JAYA - Peningkatan angka kes baharu Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah pemulihan meskipun penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial sedang berkuat kuasa dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN, Datuk Sohaimi Shahadan melahirkan rasa bimbang sekiranya negara gagal memutuskan rantaian Covid-19 kerana kadar penularan wabak itu lebih cepat hingga boleh mewujudkan jumlah kematian yang tinggi.

"Keadaan sekarang semakin parah. Kerajaan perlu mempercepatkan agihan vaksin Covid-19 ke negeri-negeri apabila mahu melaksanakan 'total lockdown'. Ekonomi memang akan terjejas teruk apabila 'total lockdown' dilaksanakan tetapi kesihatan dan nyawa rakyat lebih diutamakan.

"Kerajaan boleh kerjasama dengan hospital swasta dalam agihan vaksin supaya segera diterima oleh rakyat. Jangan dibiarkan kes harian mencecah lima angka, barulah kelam-kabut," katanya dalam kenyataan media di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, rungutan ramai yang berhadapan masalah pendaftaran vaksin Covid-19 baru-baru ini menunjukkan tiada persiapan serius dan ketidakcekapan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Kos yang digunakan bagi membangunkan sistem serta laman sesawang ini berjumlah hampir RM70 juta tetapi akhirnya mengecewakan rakyat apabila gagal diakses. Sepatutnya dengan kos yang begitu besar, tiada masalah yang timbul. Ini menunjukkan PICK tidak sistematik," katanya.

Sohaimi turut mengulas berhubung sikap tidak bertanggungjawab sebilangan individu yang menyebarkan berita palsu berhubung suntikan vaksin Covid-19 sehingga menimbulkan ketakutan dan was-was kepada rakyat.

Dalam pada itu, kerajaan petang tadi akhirnya mengumumkan total lockdown akan dilaksanakan bermula 1 hingga 14 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

Ia berikutan jumlah kos positif Covid-19 menunjukkan peningkatan setiap hari dengan rekod tertinggi pada hari ini sebanyak 8,290 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Total lockdown di seluruh negara bermula 1 Jun