Sri Ram berkemungkinan jadi saksi: Peguam

Datuk Seri Gopal Sri Ram
Datuk Seri Gopal Sri Ram
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan boleh berkemungkinan menjadi saksi dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib berhujah di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Sri Ram bertindak berdasarkan konflik kepentingan kerana beliau terlibat dalam siasatan dan juga pendakwaan dalam kes 1MDB yang dihadapi Najib.

"Penglibatannya dalam siasatan dan pendakwaan bermakna bahawa Sri Ram telahpun membuat pra penghakiman terhadap kebersalahan Najib dan hakikat bahawa kes-kes itu telah dimulakan bermakna Sri Ram telah meyakinkan Pendakwa Raya bahawa ada cukup bukti untuk mengemukakan pendakwaan.

"Pemohon (Najib) tidak boleh hadir dengan kepercayaan bahawa orang ini sudah bersalah,” kata beliau semasa berhujah pada prosiding mendengar permohonan pihak pembela untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Ketika ditanya oleh Hakim Sequerah, sama ada ini bermakna bahawa Sri Ram boleh berkemungkinan menjadi saksi, Harvinderjit menjawab "ya”.

Harvinder berkata, dalaman transkripsi wawancara kenyataan Peguam Negara pada 13 September tahun lepas, yang disiarkan dalam laman sesawang Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menemuramah saksi-saksi dan Sri Ram terlibat dalam siasatan.

"Ia berkata Sri Ram terlibat untuk membawa kes 1MDB ke mahkamah dan berhujah di mahkamah dalam dua daripada kes-kes tersebut.

"Perkataan membawa adalah bermaksud tindakan yang sangat positif untuk memastikan ini dilakukan. Konflik yang dimaksudkan bukanlah kerana beliau terlibat dalam siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau seterusnya berhujah bahawa tindakan Sri Ram membantah ikat jamin ke atas anak guamnya pada 20 September tahun lepas apabila kes 1MDB bermula, Sri Ram telah membuat andaian yang jelas bahawa Najib telah melakukan kesalahan.

"Sri Ram berkata ini adalah kes paling buruk dan hakikat bahawa seorang ketua kerajaan menghadapi pertuduhan jenayah adalah sesuatu yang memalukan negara.

"Ini dinyatakan oleh seorang Timbalan Pendakwa Raya dalam penghujahannya untuk ikat jamin. Bolehkah kita menyatakan bahawa beliau akan bersikap bebas dan objektif? kata Harvinderjit.

Sementara itu, peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa Sri Ram seharusnya digugurkan kerana beliau bukan orang yang sesuai dan layak untuk mengetuai pendakwaan kerana ia mempengaruhi perwatakannya sebagai seorang yang tidak jujur.

Beliau juga berkata, sikap berat sebelah Ram telahpun dimanifestasi semasa prosiding dalam kes Najib.

Timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mewakili pihak pendakwaan pada prosiding hari ini.

Prosiding bersambung pada Jumaat.

Pada 20 September 2018, Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan bagi pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Najib dituduh melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014. - Bernama