Tiga surau langgar SOP di Jempol diarah tutup tujuh hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JEMPOL - Tiga buah surau di daerah ini diarah tutup sementara selama tujuh hari selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEINS) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, surau berkenaan adalah surau Felda Raja Alias 1; surau Felda Raja Alias 4 dan surau Al-Irsyad, Rumah Rakyat Ayer Hitam.

Menurutnya, arahan penutupan tersebut adalah dari Pejabat Agama Daerah Jempol berkuat kuasa Khamis hingga 2 Jun ini.

"Jemaah tidak memakai pelitup muka, jemaah melebihi had ditetapkan, menjalankan aktiviti selain daripada solat dan jemaah tidak membawa sejadah sendiri antara pelanggaran SOP yang dilakukan di surau berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, penutupan surau itu adalah berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh penguat kuasa Pejabat Agama (PPA) ke atas beberapa buah masjid dan surau di dalam daerah Jempol bermula Selasa lepas hingga Khamis antara jam 4.30 petang hingga 8.30 malam.

"Hasil pemantauan mendapati tiga buah surau berkenaan telah melanggar SOP JHEINS, bagaimanapun pemantauan PPA ini dilakukan tanpa kehadiran pihak polis menyebabkan kompaun tidak dapat dikenakan terhadap individu yang melanggar SOP JHEAINS.

"Justeru Pejabat Agama Islam daerah hanya memberi surat arahan penutupan sementara selama tujuh hari ke atas surau-surau yang melanggar SOP," katanya.

Sinar Harian difahamkan, operasi tersebut turut disertai Ketua Unit Penguat Kuasa Agama Daerah Jempol, Amirul Hafiz Mohd Amin.

Artikel Berkaitan: