Gesa tindakan segera, bendung kanak-kanak daripada Covid-19

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menggesa semua pihak untuk mengambil tindakan segera dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Menurutnya, peningkatan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian segera.

“Saya menggesa semua pihak khususnya ibu bapa, penjaga, pengendali pusat jagaan, pengusaha dan pengasuh taska serta pihak lain yang mempunyai hubungan dan interaksi terus dengan kanak-kanak untuk tingkatkan kesedaran tentang bahayanya wabak ini.

“Hal ini supaya mereka lebih proaktif untuk menilai perkara yang dapat meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, ibu bapa dan penjaga perlu beri keutamaan terhadap penjagaan serta tahap kesihatan kanak-kanak.

“Semua pihak berperanan dalam memastikan kanak-kanak sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak membawa mereka ke tempat awam kecuali bagi tujuan kecemasan, rawatan dan pendidikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan terhadap penyampaian perkhidmatan kebajikan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Jumaat.

Menurutnya, beliau akan memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak dalam negara sentiasa terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rina menyarankan agar kajian tahap keberkesanan vaksin untuk kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dipercepatkan bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 terhadap golongan tersebut.

“Saya juga menggesa 18,621 orang pengasuh di 5,326 taska yang berdaftar dengan JKM diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi bagi menjamin persekitaran yang baik untuk kanak-kanak,” jelasnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan ancaman jangkitan Covid-19 dikenal pasti menular kepada golongan kanak-kanak dan bayi apabila data Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan seramai 48,261 kumpulan umur itu telah dijangkiti sehingga kini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 6,290 kes positif Covid-19 merupakan bayi berumur 18 bulan dan ke bawah.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangkitan Covid-19 menular kepada kanak-kanak, bayi

Lebih 1,000 pesakit Covid-19 di Kelantan adalah kanak-kanak