Bahrain ujian sebenar Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan Bahrain di Stadium Nasional Bahrain di Riffa, Manama tengah malam ini. -Foto FB FAM
Skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan Bahrain di Stadium Nasional Bahrain di Riffa, Manama tengah malam ini. -Foto FB FAM
A
A
A

AKSI Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang pasukan ranking 98 dunia, Bahrain bakal menjadi ujian getir bagi skuad Harimau Malaya, namun itulah yang diperlukan mereka menjelang kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, kata Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata, perlawanan tengah malam ini (12.30 tengah malam, Sabtu waktu Malaysia) di Stadium Nasional Bahrain di Riffa, Manama, adalah penting bagi Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan.

Kim Swee berkata demikian kerana Bahrain berjaya berkongsi mata 1-1 menentang ranking 24 dunia, Ukraine dalam perlawanan persahabatan Ahad lalu manakala Malaysia tewas 4-1 kepada Kuwait pada hari yang sama.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berpendapat aksi persahabatan menentang Bahrain juga akan membantu Cheng Hoe mengenal pasti 11 yang terbaik untuk baki tiga perlawanan Kumpulan G pada pusingan kedua kelayakan yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia yang menduduki ranking ke-153 dunia akan menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

“Saya percaya Cheng Hoe mempunyai idea untuk kemungkinan 11 yang terbaik bagi kelayakan dan berdasarkan perlawanan malam ini, beliau akan menentukan kombinasi terbaik. Aksi ini adalah ujian terbaik untuk berdepan UAE kerana kedua-dua pasukan (UAE dan Bahrain) mempunyai gaya permainan yang serupa dan pemain dengan kemahiran individu yang baik,” kata Kim Swee ketika dihubungi hari ini.

Beliau menekankan bahawa Harimau Malaya harus mempamerkan kekuatan dalam segala aspek sekiranya mahu mendapatkan sesuatu menentang UAE, mengambil kira rekod jaringan yang memberangsangkan pasukan itu apabila membenam India 6-0 dan Jordan 5-1.

Bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan juga berpendapat aksi persahabatan menentang Bahrain akan membantu pemain Malaysia mencapai tahap terbaik untuk kelayakan itu.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah peluang dan kesempatan terbaik bagi pasukan untuk belajar. Pada masa saya sebagai pemain, kami banyak mengadakan perlawanan dengan pasukan seperti ini (ia adalah) baik untuk kami bersedia menghadapi kejohanan bertaraf tinggi.

“Pemain akan mendapat manfaat daripada perlawanan menentang pasukan sedemikian dan kita dapat melihat di mana kedudukan kita apabila menentang pasukan ranking yang lebih tinggi,” kata Zainal yang menyarung jersi kebangsaan pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Sementara itu, mengulas mengenai pengumuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam bahawa keputusan antara pasukan tempat kedua dan kelima dalam kesemua lapan kumpulan kelayakan itu tidak akan dikira untuk menentukan empat naib juara terbaik, Kim Swee berkata, setiap pasukan kini akan mempunyai peluang sama untuk menamatkan saingan di atas.

"Buat masa ini, kita tidak sepatutnya memberi sebarang tekanan kepada pasukan. Mereka harus memberi tumpuan kepada baki perlawanan dan meletakkan prestasi yang memberangsangkan," katanya.

Susulan penarikan diri Korea Utara daripada Kumpulan H, AFC berkata semua keputusan perlawanan Korea Utara dalam kumpulan akan diisytiharkan tidak sah dan terbatal, manakala keputusan perlawanan antara pasukan tempat kedua dan kelima dalam Kumpulan A hingga G juga tidak akan dikira bagi memastikan perbandingan akhir yang seimbang bagi semua naib juara kumpulan.

Setiap lapan kumpulan terdiri daripada lima pasukan, dengan pasukan teratas dari setiap kumpulan secara automatik layak ke Final Piala Asia dan disertai oleh empat pasukan tempat kedua terbaik. 12 pasukan ini juga akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Selepas lima perlawanan, Malaysia berada di tempat kedua dalam Kumpulan G dengan sembilan mata, dua mata di belakang Vietnam, diikuti Thailand (lapan mata), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (enam mata dengan kelebihan satu perlawanan) dan Indonesia tanpa sebarang mata.

Enam daripada sembilan mata yang diperoleh Harimau Malaya adalah hasil dua kemenangan ke atas Indonesia -- kemenangan 3-2 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta dan kemenangan 2-0 di Stadium Nasional di Bukit Jalil. Kemenangan ketiga mereka adalah kemenangan 2-1 menentang Thailand di Bukit Jalil. - Bernama