‘Elneny UiTM’ sedia curah pengalaman

Mohd Alif memiliki pengalaman luas dalam saingan Liga-M.
Mohd Alif memiliki pengalaman luas dalam saingan Liga-M.
A
A
A

PEMAIN tengah baharu UiTM FC, Mohd Alif Samsudin bersedia mencurahkan ilmu dan pengalamannya bagi mengelak skuad ‘The Lions Troop’ tersingkir daripada pentas Liga Super musim depan.

Bekas pemain Kuala Lumpur City FC (KL City) yang berpengalaman selama 12 tahun dalam Liga Malaysia (Liga-M) itu menjelaskan, tiada kelemahan ketara dilihat dalam pasukan UiTM FC melainkan kekurangan pengalaman pemain muda tempatan yang menjadi tembok pemisah daripada pasukan ternama lain.

Perkara itu menjadi perhatiannya ketika beliau sendiri beraksi membantu UiTM FC menentang KL City FC dan meraih keputusan seri 1-1 pada 8 Mei lalu yang menunjukkan perubahan ketara pada skuad kendalian Frank Bernhardt itu.

“Saya dipanggil di sini oleh staf kejurulatihan untuk membantu pemain-pemain muda setelah mereka melihat beberapa kelemahan ketara terutama di bahagian tengah.

“Sebenarnya pemain muda dalam pasukan ini semuanya tiada masalah cuma apa yang saya dapati mereka tiada pembimbing yang boleh beri arahan di atas padang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Pemain berusia 32 tahun itu menekankan salah satu kelemahan UiTM FC ialah kedudukan posisi pemain di atas padang seperti tempat yang sesuai untuk pemain menempatkan diri mereka bagi menutup ruang pihak lawan melakukan hantaran.

Pasukan UiTM FC kini menghuni kedudukan tercorot dalam saingan Liga Super apabila sekadar mengutip dua mata daripada 13 perlawanan setakat ini.

Dalam pada itu, Mohd Alif yang diberi jolokan ‘Elneny UiTM’ kerana mempunyai gaya rambut hampir sama dengan pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny, bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kariernya selaku pemain bola sepak profesional.

Artikel Berkaitan:

Mohd Alif merupakan nama yang terkenal dalam kalangan peminat Negeri Sembilan dan menjadi antara tonggak penting pada era kegemilangan skuad Hoben Jang Hoben pada musim 2009-2011.

Dia yang dikenali sebagai pemain mempunyai corak permainan keras sebagai pemain tengah pernah beraksi dengan Negeri Sembilan sehingga musim 2014 sebelum berhijrah ke pasukan lain seperti Sime Darby FC, Melaka, Felcra FC dan Kuala Lumpur. - Bernama