Thailand lulus vaksin Sinopharm untuk kegunaan kecemasan

FDAThailand pada Jumaat meluluskan vaksin Covid-19 Sinopharm, China untuk kegunaan kecemasan. - Gambar hiasan 123RF
FDAThailand pada Jumaat meluluskan vaksin Covid-19 Sinopharm, China untuk kegunaan kecemasan. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

BANGKOK - Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand pada Jumaat meluluskan vaksin Covid-19 Sinopharm, China untuk kegunaan kecemasan.

Setiausaha Agung FDA, Dr Paisarn Dunkum mengumumkan vaksin Sinopharm adalah vaksin Covid-19 kelima yang diluluskan oleh Thailand selepas Sinovac, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna.

"Vaksin ini selamat dan berkesan. FDA telah meneliti dokumen yang dikemukakan sebelum meluluskannya untuk kegunaan kecemasan, ” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Paisarn mengatakan FDA sedang mengkaji permohonan untuk dua vaksin Covid-19- vaksin India dan Rusia, iaitu masing-masing Coxavin dan Sputnik.

Vaksin Sinopharm dihasilkan oleh Beijing Bio-Institute of Biological Products Co Ltd, anak syarikat China National Biotec Group (CNBG).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang telah meluluskan suntikan Sinopharm untuk penggunaan kecemasan mengatakan percubaan besar-besaran Fasa III telah menunjukkan bahawa dua dosnya, yang diberikan berselang 21 hari, menunjukkan 79 peratus keberkesanan terhadap jangkitan simptom, 14 hari atau lebih setelah melengkapkan dos kedua.

Vaksin Sinopharm diluluskan sehari selepas Akademi Diraja Chulabhorn (CRA) Thailand mengumumkan rancangannya untuk mendapatkan vaksin alternatif sebagai tambahan kepada vaksin lain yang diterima oleh kerajaan.

Sementara itu, institut penyelidikan CRA hari ini mengumumkan ia akan mengimport satu juta vaksin Sinopharm Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agungnya Dr Nithi Mahanonda berkata kumpulan vaksin pertama dijangka dihantar pada bulan Jun.

"CRA akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam mengenai pengedaran vaksin," katanya pada sidang media hari ini. Beliau menambah organisasi kerajaan dan swasta sudah menyatakan minat untuk membeli vaksin. - Bernama