33 PATI termasuk seorang bayi ditahan PGA Semenyih

Antara PATI warga Indonesia yang ditahan oleh PGA Semenyih, pada Khamis.
Antara PATI warga Indonesia yang ditahan oleh PGA Semenyih, pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang bayi ditahan menerusi dua tangkapan berasingan oleh Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden Rizal Mohamed berkata, menerusi tangkapan pertama, seramai lima lelaki dan empat wanita warga Indonesia berumur antara 16 hingga 46 tahun telah ditahan di Jalan Sungai, Serdang, Kapar.

Menurutnya, tangkapan kedua pula melibatkan seramai 16 orang lelaki dan sembilan perempuan warga Indonesia berumur 21 hingga 50 tahun termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun berhampiran sebuah kolam udang di Assam Jawa, Kuala Selangor.

"Hasil siasatan mendapati semua suspek terlibat gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai baru masuk ke negara ini melalui jalan laut dengan menggunakan bot dan mendarat di persisiran pantai Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, semua PATI yang ditahan di bawa ke Balai Polis Kapar dan Balai Polis Kuala Selangor untuk tindakan selanjutnya di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, semua PATI terlibat juga akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan wabak berkenaan dalam kalangan pesalah dan petugas PDRM.

"Masyarakat diseru agar dapat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berhubung sebarang aktiviti menyalahi peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan: