Bekalan air mencukupi

Aminuddin semasa mengadakan perjumpan dengan wakil penduduk Ladang Gatco di Wisma Negeri hari ini.
A
A

SEREMBAN - Bekalan air mentah di negeri ini mencukupi biar pun fenomena panas dijangka berlaku sehingga Mac depan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata sehingga tempoh ini empangan air di seluruh negeri berada pada tahap memuaskan, termasuk empangan air di Tampin.

Katanya, sejak tiga hari lalu hujan turun dengan lebat, dan empangan menerima taburan hujan yang banyak.

"Buat masa ini empangan kita tidak ada masalah, air mentah kita mencukupi, penuh dan berada pada tahap yang baik.

"Saya minta supaya rakyat negeri ini terus berdoa agar bekalan air kita terus mencukupi dan tidak mengalami gangguan di sepanjang fenomena musim panas ini," katanya.

Bagaimanapun katanya, jika gangguan bekalan air berlaku, pihaknya menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan telah menyediakan pelan kontigensi air, agar bantuan air dapat disalurkan di kawasan terlibat dengan segera.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu pihaknya akan meneliti dokumen asal perjanjian yang dibuat oleh kerajaan terdahulu berhubung isu penduduk di Ladang Gatco, bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya, beberapa perkara telah pun dibincangkan secara bersama, dan penelitian perlu dilakukan lebih mendalam bagi memastikan kepentingan kedua-dua pihak terjaga.

Terdahulu, wakil peneroka Ladang Gatco menyerahkan memorendum kepada Menteri Besar bagi mendesak supaya menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka sejak 22 tahun lalu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia