Penjaga tapak binaan didakwa liwat, rompak seorang lelaki

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjaga tapak binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan hubungan seks luar tabii dan meliwat seorang lelaki ketika merompak mangsa di sebuah rumah di Gombak, dua minggu lalu.

Alif Sham Koljeet, 28, didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu terhadap peniaga berusia 41 tahun pada jam 3 pagi 13 Mei lalu mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, dan Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan merompak, Alif bersama rakannya Abdul Rahman Zulfahmi, 25, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merompak lelaki itu bersenjatakan parang dan pisau dengan mengambil tiga buah telefon bimbit, dua utas jam tangan, sebuah beg tangan, seutas rantai leher dan seutas gelang kaki emas milik mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan Alif diikat jamin RM30,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan manakala Abdul Rahman diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul’Ain Shafie manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Riza Zakaria. - Bernama

Artikel Berkaitan: