Tak serik diserbu jual loteri, 4 premis dipotong bekalan elektrik

Nor Omar (kanan) melihat proses pemotongan elektrik oleh kakitangan TNB di sebuah premis kerana menjalankan penjualan loteri awam haram di Sitiawan, Manjung pada Jumaat.
Nor Omar (kanan) melihat proses pemotongan elektrik oleh kakitangan TNB di sebuah premis kerana menjalankan penjualan loteri awam haram di Sitiawan, Manjung pada Jumaat.
A
A
A

MANJUNG - Tidak serik diserbu berkali-kali kerana menawarkan aktiviti penjualan loteri awam haram, empat premis di Sitiawan dan Ayer Tawar, di sini dipotong bekalan elektrik dalam satu operasi pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, empat premis berkenaan membabitkan tiga kedai runcit dan satu kedai menjual telefon bimbit.

Menurutnya, operasi pemotongan elektrik yang dilakukan bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Kedai-kedai ini sekurang-kurangnya dua kali telah diserbu bagi tahun ini dan kita dapati mereka masih degil menyebabkan tindakan potong bekalan elektrik dibuat.

"Pada tahun ini sahaja, termasuk hari ini, sebanyak 12 premis telah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik atas kesalahan sama," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi di sebuah premis di Sitiawan, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pemilik kedai masih meneruskan penjualan loteri awam haram itu disebabkan keuntungan sehingga RM10,000 sebulan melalui komisen yang diberikan.

Sementara itu, Nor Omar berkata, untuk rekod pada tahun 2020 sebanyak 271 serbuan dilakukan dengan 176 kes sudah didakwa di mahkamah dan selebihnya masih dalam siasatan.

Menurutnya, sebanyak 14 premis pula telah ditutup sepanjang tahun lalu atas kesalahan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi tahun 2021 pula, bermula Januari sebanyak 126 serbuan telah dibuat ke atas premis yang terlibat dalam penjualan loteri awam haram.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 74 siasatan didakwa di mahkamah dan selebihnya masih dalam siasatan.