JHEAINS tangguh permohonan kebenaran kahwin mulai Jumaat

JHEAINS menangguhkan semua jenis permohonan kebenaran berkahwin di negeri ini mulai Jumaat ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
JHEAINS menangguhkan semua jenis permohonan kebenaran berkahwin di negeri ini mulai Jumaat ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menangguhkan semua jenis permohonan kebenaran berkahwin di negeri ini mulai Jumaat ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Mohd Zaidi Ramli bagaimanapun berkata, bagi pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin sebelum tarikh itu adalah dibenarkan namun perlu dilakukan di JHEAINS atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing mengikut kekosongan tarikh yang dijadualkan.

"Bagi pasangan yang telah mendapat tarikh untuk majlis akad nikah di PAID pada ketetapan diberikan, majlis berkenaan akan tetap dilangsungkan melainkan ada makluman pembatalan daripada JHEAINS atau PAID.

“Kita hanya tangguhkan dahulu permohonan nikah baharu, yang lama memang diteruskan, bagi permohonan yang dihantar sebelum tarikh penangguhan dan belum mendapat kebenaran, mereka tidak perlu buat permohonan baharu, hanya hubungi PAID untuk dapat kebenaran selepas tempoh penangguhan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya juga akan melanjutkan tempoh kebenaran berkahwin selama tiga bulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat sekiranya kebenaran itu sudah melepasi 90 hari dan pemohon perlu ke PAID untuk pelanjutan tempoh secara percuma.

Dalam pada itu, beliau berkata, JHEAINS masih menerima pakai keputusan saringan HIV yang hanya sah selama enam bulan sebelum ini melalui pelanjutan tempoh sah lakunya sehingga tiga bulan selepas PKP dan pemohon perlu ke PAID masing-masing untuk mendapatkan pelanjutan tempoh berkenaan.

Mohd Zaidi turut berkata, semua pemohon yang ingin mendapatkan kebenaran berkahwin perlu mengikuti Kursus Praperkahwinan Islam terlebih dahulu yang ditawarkan mana-mana Jabatan Agama Islam Negeri bagi membolehkan majlis perkahwinan dilangsungkan. - Bernama

Artikel Berkaitan: