Kedah wujudkan pasukan tangani penyebaran berita palsu Covid-19

Wan Romani
Wan Romani
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mewujudkan pasukan komunikasi untuk menangkis penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 berikutan terlalu banyak maklumat tidak tepat ditularkan.

Exco Penerangan dan Komunikasi, Wan Romani Wan Salim berkata, inisiatif ini dibuat ekoran berita palsu yang ditularkan menimbulkan kekalutan dan kekeliruan dalam masyarakat.

Menurutnya, pasukan berkenaan akan menyalurkan maklumat terkini berkaitan situasi Covid-19, antaranya prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program vaksinasi, pembudayaan normal baharu dan sebagainya.

"Maklumat berkaitan Covid-19 yang sahih akan dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Kedah kepada orang ramai bagi mengelakkan kekeliruan.

"Kita kesal kerana dalam usaha kerajaan menyalurkan maklumat dan informasi yang tepat dan sahih kepada rakyat, masih ada dalang atau pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Wan Romani berkata, keputusan itu dicapai ketika beliau mempengerusikan mesyuarat Jabatan Penerangan Negeri Kedah secara dalam talian pada Selasa.

Mengulas lanjut katanya, Jabatan Penerangan Negeri Kedah akan memperkasakan penyampaian maklumat selain program Info On Wheels (IOW) yang bakal dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan di setiap daerah.

"Pasukan ini akan dianggotai oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah, Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Jabatan Penyiaran Negeri Kedah dan Jabatan Penerangan Negeri Kedah sebagai urus setia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Wan Romani berkata, pihaknya berharap usaha yang dilakukan ini akan memudahkan orang ramai mendapatkan saluran maklumat yang tepat dah sahih berkaitan Covid-19.