Sektor pembuatan di Pulau Pinang bersedia untuk vaksinasi besar-besaran

Sektor pembuatan di Pulau Pinang berharap kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran untuk barisan hadapan ekonomi. - Gambar hiasan
Sektor pembuatan di Pulau Pinang berharap kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran untuk barisan hadapan ekonomi. - Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - Sektor pembuatan di Pulau Pinang berharap kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran untuk barisan hadapan ekonomi apabila kumpulan vaksin Covid-19 yang baharu tiba di Malaysia dijangka pada Jun.

Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Lee Kah Choon berkata, beberapa persatuan pembuatan telah membuat persiapan untuk melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran untuk pekerja industri.

Beliau berkata, kaedah yang diselaraskan di bawah Model Imunisasi Perkongsian Awam-Swasta diperlukan untuk menyelaraskan vaksinasi secara besar-besaran dengan berkesan untuk barisan hadapan ekonomi dan mencapai imuniti kelompok.

“Dengan Pulau Pinang sebagai antara penerima pelaburan langsung asing yang utama antara negeri-negeri di Malaysia, kami berharap kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran untuk pekerja kami apabila kumpulan vaksin yang baharu tiba di Malaysia,” katanya pada sidang media secara maya di sini pada Jumaat.

Hadir sama wakil dari Persatuan Syarikat Zon Perindustrian Bebas Pulau Pinang, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), InvestPenang, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memperkenalkan Model Imunisasi Perkongsian Awam-Swasta, membolehkan syarikat dengan lebih 1,500 pekerja mewujudkan pusat vaksinasi di lokasi tertentu, dan kerajaan akan menanggung kos vaksin manakala perbelanjaan logistik dan kakitangan perubatan akan ditanggung oleh sektor swasta.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAMENTA, Yeoh Seng Hooi berkata, antara kebimbangannya dengan program vaksinasi secara besar-besaran ialah logistik vaksin, sama ada ia akan dapat mencapai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, PKS antara penyumbang ekonomi yang terbesar di Malaysia, tetapi pada masa sama, sektor itu yang paling teruk terjejas semasa pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan vaksin akan menjadi amat penting (bagi PKS), justeru, kami berharap jika terdapat program vaksinasi secara besar-besaran, kami dibenarkan untuk menjadi sebahagian daripadanya bersama syarikat-syarikat yang lebih besar,” katanya. - Bernama