X

Kindly register in order to view this article
!

Inkues terhadap tiga kes kematian dalam tahanan perlu dilaksanakan

Pakatan Harapan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan wajar menjalankan inkues melalui Mahkamah Koroner terhadap tiga kes kematian dalam tahanan di bawah Kanun Acara Jenayah bagi setiap satu kes.

Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berkata, inkues-inkues tersebut yang akan dijalankan di mahkamah terbuka bertujuan untuk mengenal pasti punca kematian ketiga-tiga tahanan tersebut.

“Pada masa sama, keluarga mendiang juga wajar diberi peluang melibatkan diri dalam inkues-inkues tersebut melalui peguam mereka.

“Sekiranya Mahkamah Koroner mendapati terdapatnya pihak yang telah menyebabkan kematian ketiga-tiga mendiang tersebut, tindakan harus diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab termasuklah mendakwa mereka di mahkamah,” kata mereka menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Jawatankuasa Keselamatan PH itu mengulas mengenai kematian Surendran Shanker, A Ganapathy dan S Sivabalan semasa dalam tahanan.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Syahredzan Johan.

Tambah jawatankuasa berkenaan, mereka amat mengambil berat mengenai isu kematian dalam pusat tahanan yang telah berlarutan sekian lama.

“Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri (KDN), terdapat sebanyak 257 kematian dalam tahanan polis dari tahun 2002 hingga 2016. Ini tidak termasuk statistik banduan yang meninggal dunia dalam penjara.

“Semakin banyak kes kematian dalam tahanan yang berlaku akhir-akhir ini menandakan betapa kurangnya akauntabiliti pihak kerajaan yang tidak boleh diterima lagi.

“Jelas sekali, tiada mana-mana pihak bertanggungjawab atas kehilangan nyawa dalam tahanan polis. Walaupun satu nyawa pun sudah terlalu banyak,” kata mereka.

Jawatankuasa berkenaan juga mempersoalkan berapa lagi kematian dalam tahanan diperlukan sebelum perkara itu dipandang serius oleh kerajaan.

“Dalam sebuah negara demokratik yang menjunjung prinsip keluhuran undang-undang, kewujudan kes kematian dalam tahanan dan penjara atas sebab-sebab yang mencurigakan amat dikesali dan bercanggah dengan hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan tidak harus melengahkan atau mengelak daripada menangani isu ini. Kerajaan perlu ada kemahuan politik untuk menyelesaikan isu kematian dalam tahanan untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi,” tegasnya.

Jawatankuasa itu turut menggesa agar syor-syor di dalam Laporan Suruhanjaya Diraja 2005 untuk meningkatkan operasi dan pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah harus segera dilaksanakan bagi memperkasa integriti dan kepercayaan awam terhadap polis.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!