X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan seludup dadah lebih RM400,000 gagal

Dua warga asing masing-masing berusia 34 dan 43 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah di perairan Kuala Linggi, Melaka awal pagi Jumaat.
A
A

MELAKA - Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan dadah bernilai lebih RM400,000 dengan penahanan dua individu warga asing dalam satu operasi di sekitar perairan Kuala Linggi, awal pagi Jumaat.

Dalam pemantauan lebih kurang jam 2.30 pagi, menerusi rondaan rutin Operasi Belangkas 3/2021, pencegahan jenayah penyeludupan rentas sempadan antarabangsa itu berjaya merampas dadah jenis syabu.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, penahanan dua lelaki di sebuah bot fiber disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa kepada penemuan 10 bungkusan hijau mengandungi dadah seberat 10 kilogram yang disembunyikan dalam bekas plastik.

Menurutnya, bot suspek dikesan pada kedudukan lebih kurang 11.6 batu nautika Barat Daya Tanjung Dahan, Kuala Linggi dalam keadaan mencurigakan sebelum berjaya dipintas dan ditahan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin 60 kuasa kuda itu dikendalikan dua lelaki warga Indonesia berusia 34 dan 43 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kedua-dua suspek dan bungkusan yang disyaki dadah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!