LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi sepenuhnya

Ka Siong ketika membuat lawatan ke Pusat Krisis di Stesen Perkhidmatan LRT KLCC yang telah beroperasi hari ini. - Foto Bernama
Ka Siong ketika membuat lawatan ke Pusat Krisis di Stesen Perkhidmatan LRT KLCC yang telah beroperasi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi tren Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kelana Jaya yang terjejas berikutan insiden tren bertembung pada Isnin lalu, kembali beroperasi sepenuhnya tepat jam 3.45 petang Jumaat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerja-kerja baik pulih dan pembersihan landasan yang terlibat telah selesai.

Beliau berkata, pemasangan elemen kritikal dalam pengoperasian tren iaitu ‘linear heat detection cable’ sepanjang 28 meter di lokasi kejadian juga selesai pada jam 2 petang.

"Sejurus itu, oleh kerana semua kerja yang diminta APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) telah dipenuhi, maka Ketua Pengarah APAD keluarkan surat kelulusan untuk (LRT) beroperasi.

"Tren akan kembali beroperasi berdasarkan jadual kekerapan dan kapasiti yang ditetapkan dalam SOP (prosedur operasi standard) PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," katanya pada sidang media, di Stesen LRT KLCC di sini pada Jumaat.

Ka Siong berkata, tren kini boleh bergerak menggunakan dua landasan seperti sebelum ini dan dijangkakan situasi penumpang pada waktu puncak petang ini akan lebih lancar.

Jelas beliau, susulan kejadian itu serta proses pembersihan, lima stesen iaitu stesen Dang Wangi, Kampung Baru, Ampang Park, Damai serta KLCC terkesan, dan menyebabkan kesulitan kekerapan tren kerana hanya satu landasan berfungsi.

"Apabila semua kembali pulih soal kekerapan tren dan kapasiti tidak lagi menjadi isu. Tiada lagi isu perlu menunggu tren selama 16 minit kerana satu landasan berfungsi. Kita pastikan aspek keselamatan dapat kita semak, diperiksa dan selamat digunakan, barulah kita buka (semula),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ucapan penghargaan dan terima kasih perlu diberikan kepada pasukan pemulihan melibatkan seramai 367 petugas, yang berjaya menyiapkan proses pemulihan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Selepas sidang media itu, Ka Siong turut meluangkan masa meninjau dan memeriksa operasi tren berkenaan dengan menaiki LRT dari stesen KLCC ke stesen Pasar Seni.

Isnin lalu, dua tren LRT bertembung dalam kejadian jam 8.45 malam di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC yang menyebabkan 166 penumpang cedera ringan manakala 47 lagi parah. - Bernama