PKP penuh perlu ikut data mentah yang tepat, cepat: Anwar

Anwar (dua dari kanan) merakamkan gambar bersama ahli parlimen dan ADUN yang turut sama dalam tinjauan di PPV Petaling, pada Jumaat.
Anwar (dua dari kanan) merakamkan gambar bersama ahli parlimen dan ADUN yang turut sama dalam tinjauan di PPV Petaling, pada Jumaat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebarang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau 'lockdown' perlu mengikut data mentah ('raw data') yang tepat dan cepat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu diberi keizinan untuk mengumpulkan maklumat berkenaan bagi mengenal pasti lokaliti yang terlibat penularan wabak Covid-19 secara lebih tepat.

Beliau berkata, sekiranya semua data itu lengkap, pelaksanaan PKP penuh melibatkan kluster tertentu adalah lebih efektif.

"Kalau tidak kita akan ambil rambang sahaja. Kita minta supaya diberi keizinan sama ada kerajaan, bukan kerajaan, pusat kajian atau pertubuhan antarabangsa untuk kumpulkan maklumat ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Petaling, pada Jumaat.

Hadir sama dalam tinjauan berkenaan adalah Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Dr Dzulkefly Ahmad dan Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud bersama beberapa Ahli Parlimen serta ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Dzulkefly sebelum ini juga pernah menyuarakan mengenai keengganan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkongsi data mentah mengenai Covid-19 itu yang menyebabkan kerajaan Selangor berada dalam keadaan sukar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pejabat ketua pembangkang juga memainkan peranan menyediakan pasukan sendiri bagi mengumpulkan data berkenaan dan telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

"Sekiranya data-data itu dikongsi, kerajaan negeri dapat membuat unjuran saintifik berdasarkan kepada data sains dan kita dapat membuat andaian tentang sebarang kemungkinan berdasarkan maklumat ini," katanya

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa kerajaan mempercepatkan perolehan vaksin dan memastikan pengendaliannya cukup teratur serta lebih meluas.

Tambah beliau, PPV di lokasi bandar sememangnya beroperasi lancar dan cepat namun bagi kawasan luar bandar, ia memerlukan sokongan jentera kerajaan sepenuhnya.

"Kita tak boleh terima alasan orang tak daftar dan sebagainya kerana sewaktu pilihan raya umum (PRU), semua jentera boleh kenal pasti dan seru rakyat keluar mengundi.

"Jadi alasan orang lambat daftar kerana enggan adalah alasan remeh dan tunjukkan kita tak cukup kesediaan sebagai pemerintah," katanya.