Tiga soalan menjawab Islam ditindas di China

Bangunan Persatuan Islamik China di Beijing.
Bangunan Persatuan Islamik China di Beijing.
A
A
A

BEIJING - Tiga soalan perlu dijawab sebelum menuduh wujudnya sekatan beragama di China, itu pandangan Timbalan Presiden Persatuan Islamik China, Abdul Amin Jin Rubin mengenai dakwaan bahawa umat Islam di negara itu tidak menikmati kebebasan beragama.

Beliau berkata, Kerajaan China merancang pelbagai usaha membabitkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat Islam.

"Apa sahaja yang dilihat dan dibaca di media, jika anda mengkaji mengenai kebebasan beragama penduduk Islam di China, tiga soalan ini perlu dijawab.

"Pertama, adakah masjid dibuka setiap hari dan orang Islam bebas beribadah di masjid pada bila-bila masa?," soalnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan delegasi media dari Malaysia dan Indonesia ke Beijing serta Xinjiang anjuran kedutaan negara itu.

Abdul Amin (kiri) menerangkan sejarah awal penubuhan Persatuan Islamik China kepada delegasi media.
Abdul Amin (kiri) menerangkan sejarah awal penubuhan Persatuan Islamik China kepada delegasi media.

Abdul Amin berkata, persoalan kedua, adakah terdapat restoran halal dan penganut Islam bebas mengunjunginya?

"Ketiga, adakah ruang mencukupi di tanah perkuburan Islam?.

Artikel Berkaitan:

"Jika anda menjawab semua persoalan ini, anda akan tahu adakah wujudnya kebebasan beragama bagi masyarakat Islam di China," katanya.

Menurutnya, bukan hanya ketika Ramadan tetapi setiap hari masjid dibuka untuk masyarakat Islam melakukan ibadat, kuliah agama malah pelbagai aktiviti lain berkaitan keagamaan.

Katanya, selain itu, makanan halal mudah didapati dan pada masa sama, hampir 200,000 penduduk Muslim Beijing menikmati manfaat ditawarkan oleh kerajaan, antaranya bantuan perniagaan dalam sektor makanan serta minuman.

Beliau berkata, industri ekonomi halal diberikan keutamaan dan jelas dilihat dengan kewujudan ribuan restoran berkonsepkan halal.

"Kerajaan China juga ambil berat isu tanah perkuburan Islam yang tidak mencukupi dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi menyediakan sebidang tanah untuk dijadikan tanah perkuburan Islam.

"Ini antara contoh usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat yang beragama Islam.

"Ini bukan sahaja di Beijing, malah di tempat-tempat lain yang mempunyai ramai penduduk Islam," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Amin berkata, kerajaan melaksanakan dasar bagi menaik taraf kehidupan masyarakat Muslim termasuk di Xinjiang, China.

“Program kemahiran dan vokasional bertujuan meningkatkan skil pekerjaan terutama dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya.