X

Kindly register in order to view this article
!

Nafi sebar kristianisasi, Atomy Malaysia ambil tindakan undang-undang

Dari kiri, Pengurus Perhubungan Awam Atomy, Haizam Yahya; Pengurus Pemasaran Atomy, Tareeq Aziz; Pengurus Pemasaran Atomy, Haziq Norizan; Peguam Andy Yeoh dan Eugene Khoo menunjukkan kenyataan rasmi dikeluarkan Atomy Malaysia pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM – Atomy Malaysia Sdn Bhd telah mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa pihak dan influencer media sosial yang mengait dan menuduh syarikat barangan pengguna itu menyebarkan dakwah kristianisasi di negara ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit kerana tuduhan yang dibuat dan diviralkan adalah tidak benar sama sekali.

“Tindakan jahat pihak tertentu dalam mewujudkan kebencian agama terhadap Atomy Malaysia dan ahli-ahlinya menyebabkan mereka terdedah kepada kebencian dan boikot oleh orang ramai,” katanya.

Tegasnya, dakwaan bahawa Atomy Malaysia menyebarkan fahaman kristianisasi adalah satu tuduhan yang tidak benar, dusta, palsu, fitnah dan tidak berasas sama sekali.

Katanya, tohmahan itu ternyata telah menjejaskan imej korporat syarikat dan ahlinya yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa.

“Selain itu, ia turut menjejaskan kredibiliti syarikat di mata umum. Untuk makluman, menerusi peluang perniagaan yang ditawarkan Atomy Malaysia Sdn Bhd telah banyak membantu rakyat Malaysia dalam menjana sumber pendapatan khususnya sewaktu pandemik Covid-19 ini.

“Semenjak tuduhan tersebut menjadi viral, Atomy Malaysia dan ahli-ahlinya telah menerima kritikan berbaur kebencian daripada netizen dan Atomy Malaysia tidak diberikan peluang untuk menjelaskan atau mempertahankan diri,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat itu menegaskan, kes yang dibawa ke mahkamah ini bukanlah mengenai masalah agama sebaliknya bagi melindungi ahli, reputasi dan menghentikan mereka yang terbabit daripada membuat tuduhan palsu serta tidak berasas yang berterusan terhadap Atomy Malaysia.

“Atomy Malaysia prihatin terhadap kesejahteraan dan keselamatan ahli-ahlinya yang menjadi mangsa fitnah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab kerana ancaman itu merangkumi buli siber, fitnah dan bahkan ancaman kematian.

“Atomy Malaysia bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi mempertahankan nama baik, ahli-ahli, kakitangan dan semua kepentingannya,” katanya.

Tegas syarikat itu, mereka yakin dapat membuktikan tidak bersalah melalui bukti-bukti yang mencukupi terhadap tuduhan fitnah yang digambarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan motif ketidakharmonian agama dan masyarakat.

“Atomy Malaysia mempercayai dan berpegang teguh kepada ‘Keluhuran Perlembagaan’ seperti yang dinyatakan dalam Rukun Negara.

“Oleh kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dengan kepercayaan yang berbeza, Atomy Malaysia sebagai syarikat Malaysia mempunyai tanggungjawab sosial untuk menjaga keharmonian antara masyarakat tanpa mengira bangsa mahupun kepercayaan di negara ini,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah, mereka berharap agar masyarakat dapat menghentikan sebarang andaian tidak berasas sebelum kes itu dimuktamadkan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!