Wartawan terima kenyataan media Muhammad Shafee isu RM9.5 juta: Saksi

Muhammad Shafee tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan berhubung pertuduhan yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak dan pertuduhan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah kepada LHDN. - Foto Bernama
Muhammad Shafee tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan berhubung pertuduhan yang dihadapinya iaitu menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Tun Razak dan pertuduhan mengemukakan kenyataan tidak tepat dan bercanggah kepada LHDN. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wartawan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa satu kenyataan media dikeluarkan berhubung wang RM9.5 juta membabitkan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tiga tahun lalu.

Wartawan kanan, agensi Malay Mail, Lim Tee Ting, 32, berkata, dia menerima kenyataan media bertajuk 'Press Statement of Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah Pertaining to the RM9.5 milion' pada 8 September 2018 daripada seorang peguam, Muhammad Farhan yang juga anak kepada Muhammad Shafee.

Saksi ketiga pendakwaan itu berkata, maklumat yang diperoleh mengandungi enam muka surat dan dihantar dalam bentuk PDF menerusi aplikasi WhatsApp miliknya.

“Malah kandungan kenyataan media itu adalah berkaitan berita semasa yang mana dua hari sebelum itu, Malay Mail menerbitkan berita berkaitan isu yang sama.

“Ia juga relevan untuk laporan berita kerana turut menyentuh nama-nama pemimpin lain seperti Muhammad Shafee, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, BN (Barisan Nasional) dan UMNO,” katanya.

Berdasarkan kenyatan itu, Lee Ting berkata, sebanyak empat laporan berita yang ditulis dan diterbitkan di laman web Malay Mail pada hari sama.

Menurutnya, dalam keempat-empat laporan itu, antaranya menyatakan Muhammad Shafee mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib bukan sebagai bayaran untuk kes liwat Anwar dan mendakwa ia adalah bayaran guaman berkaitan 46 ‘election petition’ melibatkan BN dan UMNO bagi tahun 2004 dan 2006.

Selepas siaran berita berkenaan Lee Ting berkata, dia dihubungi oleh kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan perjumpaan diatur di pejabat Malay Mail pada 30 Oktober tahun sama.

Artikel Berkaitan:

Ketika itu dia diminta membandingkan kenyataan media daripada Muhammad Farhan dengan versi kenyataan yang ditunjukkan oleh SPRM yang mana didapati kedua-dua kenyataan itu, kebanyakannya sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung Jumaat depan.