Permaisuri Johor zahir ucapan penghargaan kepada selebriti

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah hari ini menzahirkan penghargaan kepada beberapa selebriti tanah air yang sudi menyampaikan kata-kata semangat serta dorongan buat pelajar dan warga kerja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 21 Mei lalu.

Baginda yang juga Canselor UTM bertitah, ucapan yang disampaikan beberapa selebriti itu menerusi laman sosial yang dimuat naik dalam Facebook rasmi The Royal Johor sebentar tadi, amat dihargai.

“Saya sebagai Canselor UTM ingin menzahirkan ucapan penghargaan kepada mereka yang sudi merakam video dengan menyampaikan kata-kata semangat, dorongan serta motivasi kepada pelajar-pelajar UTM yang berada di kampus ketika ini.

“Saya amat berharap, ia sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan dan sokongan kepada pelajar-pelajar berkenaan,” titah baginda.

Antara artis berkenaan ialah Aaron Aziz, Norliza Abdullah, Nazim Othman, Faradhiya Mohd Amin, Eizlan Yusof selain pereka fesyen terkenal Tom Abang Saufi.

Aaron Aziz dalam dalam rakaman video ringkasnya itu memberitahu, walau apa pun berlaku, semua perlu kekal positif, membantu antara satu sama lain dan terus: 'stay strong, stay positive and stay safe'.

Seramai 3,240 individu termasuk 2,227 pelajar berada dalam kawasan kampus UTM yang dikenakan PKPD selama 14 hari sehingga 3 Jun ini. -Bernama

Artikel Berkaitan: