X

Kindly register in order to view this article
!

Guna pelekat berwarna, kad nombor pantau pelanggan

Ain Arjuna (kanan) menyemak aplikasi MySejahtera seorang pelanggan.
A
A

SEREMBAN - Penggunaan pelekat berwarna dan sistem kad bernombor antara mekanisma yang boleh digunakan oleh pengurusan pasar raya bagi memantau jumlah kehadiran dan tempoh keberadaan pelanggan di premis masing-masing.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, bagaimanapun ia bukan satu ketetapan sebaliknya sebagai mekanisme tambahan yang boleh digunakan selain menyemak di aplikasi MySejahtera.

"Setakat ini kita masih belum ada arahan untuk menetapkan setiap pasar raya buat mekanisme tertentu kerana yang penting objektifnya sampai untuk pastikan pelanggan berada di dalam pasar raya tidak lebih dua jam.

"Buat masa sekarang saya nampak penggunaan pelekat dan nombor itu antara langkah boleh digunakan kerana pihak pengurusan premis boleh nampak dengan jelas," katanya pada sidang akhbar selepas penguatkuasaan operasi had maksimum dua jam (OP HAD 2J) oleh KPDNHEP Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, seramai 100 penguat kuasa KPDNHEP ditempatkan di tempat-tempat awam bagi tujuan pemantauan dan berharap orang awam dapat turut sama memainkan peranan menjadi 'mata-mata'.

Selain itu beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak lagi mengamalkan budaya 'window shopping' atau bersantai-santai di dalam pasar raya atau di tempat awam seperti sebelum ini.

"Jika dulu pergi membeli-belah ikut kehendak dan keperluan. Kehendak itu kita mahu bersantai-santai atau mahu tenangkan fikiran di pasar raya.

"Sekarang kita kena beri keutamaan kepada keperluan sahaja, perlu ada tujuan yang jelas dan sediakan senarai barangan yang mahu dibeli," katanya.

Mengulas OP HAD 2J, Ain Arjuna berkata, hasil pemantauan yang dijalankan oleh pegawai KPDNHEP negeri selama tiga hari bermula Selasa lalu mendapati, masa paling lama diambil pelanggan adalah sejam 50 minit manakala masa paling singkat dicatatkan selama 15 minit.

"Ia merupakan pemeriksaan secara rambang terhadap 172 individu yang mengunjungi di enam 'hypermarket' utama di negeri ini selain akan diperluaskam ke premis-premis perniagaan lain yang menjadi tumpuan umum," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!