X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat bayi, kanak-kanak hanyut di persisiran pantai Libya

Libya menjadi lokasi penting bagi pendatang asing Afrika menyeberang ke Eropah untuk menyelamatkan diri daripada kemiskinan dan konflik.
A
A

TRIPOLI - Mayat enam pelarian termasuk seorang bayi, seorang kanak-kanak dan seorang wanita ditemui terdampar di persisiran pantai di Libya pada Khamis.

Menurut sumber tempatan, penduduk kota barat Zuwara telah menghubungi pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung penemuan mayat itu, lapor Agensi Anadolu.

Anggota keselamatan menemui dua mayat kanak-kanak itu, seorang wanita dan tiga lelaki yang lain.

Bagaimanapun, kesemua identiti mangsa tidak dapat dipastikan. Mereka dipercayai warganegara asing yang cuba belayar ke Mediterranean dengan bot getah dari Libya.

Menurut sumber, operasi mencari diteruskan di sepanjang 90 kilometer pesisiran pantai oleh pasukan keselamatan kemungkinan terdapat mayat lain.

Berdasarkan pemeriksaan, kesemua mangsa mungkin telah lemas beberapa hari lalu dan hanyut ke pantai sekurang-kurangnya dua hari lepas, kata laporan itu.

Sejak kebelakangan ini, Libya menjadi lokasi penting bagi pendatang asing Afrika menyeberang ke Eropah untuk menyelamatkan diri daripada kemiskinan dan konflik.

Menurut angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 632 pelarian lemas di laut Mediterranean sehingga tahun ini.

Sementara itu, seramai 1,489 warga asing ditangkap di laut antara 16 hingga 22 Mei lalu dan mereka dihantar pulang ke Libya, menurut data Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!