Kehadiran pengunjung Pasar Besar Alor Setar menurun 70 peratus

Mohd Fauzi (kanan) memberikan penjelasan kepada Asmirul Anuar semasa ADUN Kubang Rotan itu turun meninjau SOP di Pasar Besar Alor Setar, pada Khamis.
Mohd Fauzi (kanan) memberikan penjelasan kepada Asmirul Anuar semasa ADUN Kubang Rotan itu turun meninjau SOP di Pasar Besar Alor Setar, pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kehadiran pengunjung ke Pasar Besar Alor Setar menurun sehingga 70 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kota Setar dikuatkuasakan pada 19 Mei lalu.

Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd Fauzi Sharip berkata, keadaan itu memberi kesan yang besar kepada kira-kira 418 peniaga di pasar tersebut kerana permintaan kepada barang keperluan menurun dengan mendadak.

Menurutnya, hampir 70 peniaga yang tinggal di luar daerah ini menutup perniagaan mereka buat sementara waktu dan akan kembali meniaga selepas PKPD daerah Kota Setar tamat.

"Peniaga yang tutup perniagaan sementara ini sebab mereka tidak mahu mengeluarkan modal sahaja tetapi untung belum pasti ada sebab mereka tinggal jauh di luar Kota Setar.

"Sekarang ini tinggal 350 peniaga yang masih berniaga namun mereka merungut sebab kehadiran sekitar 30 peratus sahaja berbanding hari biasa. Banyak kedai-kedai makan di luar sudah mengehadkan pembelian barang asas mereka di sini sebab tempoh berniaga sudah dihadkan selain beroperasi untuk makanan dibungkus sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata, kehadiran pengunjung mulai ramai sekitar jam 7 pagi sehingga 8.30 pagi namun mereka mengikut dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Jelasnya, pasar besar itu akan kembali sunyi selepas jam 11 pagi ke atas dan rata-rata peniaga akan menutup premis masing-masing sekitar jam 12 tengahari.

"Walaupun operasi di dalam pasar besar ini dibenarkan bermula jam 6 pagi sehingga 2 petang namun peniaga menutup awal perniagaan mereka kerana sudah tidak ada pembeli yang datang selepas jam 11 pagi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Fauzi, beliau menasihatkan semua peniaga di pasar tersebut tidak menyimpan stok barang yang banyak kerana bimbang berlaku lambakan sekali gus memberikan kerugian kepada mereka.

"Ramai peniaga mengharapkan PKPD daerah Kota Setar yang akan tamat pada 1 Jun ini tidak akan disambung lagi. Mereka mengharapkan agar kaedah lain dapat digunakan seperti pemantauan SOP yang lebih ketat dapat dilakukan bagi mengantikan PKPD ini," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris berkata, sehingga Khamis, polis Kota Setar telah mengadakan rondaan di sini dan seramai 10 orang pengunjung telah diberi amaran keras kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul.

"Mereka memakai pelitup muka tetapi tidak secara lengkap sebagaimana perlu. Selain pemantauan, polis turut mengadakan sesi penerangan tentang tatacara pematuhan SOP yang sebenar kepada peniaga, pengunjung dan pembeli di pasar ini.

"Keseluruhannya, pihak saya amat berpuas hati dengan perjalanan perniagaan di sini," katanya dipetik melalui Facebooknya selepas membuat kunjungan di Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.