X

Kindly register in order to view this article
!

Celcom rekod pendapatan RM1.6 bilion pada suku pertama 2021

Idham Nawawi
A
A

SHAH ALAM - Celcom Axiata Berhad (Celcom) terus menunjukkan pertumbuhan positif pada suku pertama 2021 apabila merekodkan pendapatan keseluruhan RM1.6 bilion iaitu peningkatan 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawawi berkata, pertumbuhan pendapatan operasi Celcom bagi tempoh tersebut berkembang seiring dengan peningkatan lebih sejuta pelanggan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan penggunanya kepada hampir 14 juta.

Menurutnya, di sebalik impak akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beberapa segmen lain dalam pendapatan teras syarikat turut menunjukkan pertumbuhan yang positif berbanding tahun sebelumnya.

"Celcom mencatat keuntungan tahun ke tahun (YoY) yang lebih baik hasil daripada gabungan peningkatan pendapatan, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI).

“Pertumbuhan EBITDA meningkat sebanyak RM142 juta iaitu peningkatan 27.6 peratus berbanding suku pertama tahun lalu. Manakala bagi PATAMI pula dengan tidak mengambil kira kesan ‘one-off’ dari penyusutan aset 3G yang dipacu telah meningkat 13.2 peratus berbanding tahun lepas bersama peningkatan prestasi melalui kos kewangan bersih yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media mengenai prestasi perniagaan Celcom yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Pada masa sama, Idham berkata, bilangan pelanggan prabayar Celcom turut menunjukkan peningkatan yang kukuh apabila dengan merekodkan 893,000 pengguna baharu pada suku pertama tahun ini iaitu peningkatan 17.7 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, jumlah pelanggan baharu pascabayar Celcom turut menunjukkan pertambahan 120,000 pengguna pada tempoh yang sama tahun ini dengan peningkatan 4.1 peratus berbanding suku pertama 2020.

“Bagi peningkatan pengguna prabayar, ia dibantu dengan penyediaan perkhidmatan Pelan Celcom Xpax Truly Unlimited dengan hasil purata setiap pengguna (Arpu) kukuh pada RM30 manakala peningkatan pengguna pascabayar pula disokong oleh penambahbaikan pelan Celcom MEGA dan Celcom XP Lite,” jelasnya.

Dalam pada itu, Idham berkata, dengan pemacuan digitalisasi yang lebih pantas ekoran daripada keadaan pandemik Covid-19 dan PKP, Celcom pada suku pertama 2021 mencatatkan pertumbuhan trafik data sebanyak 70 peratus iaitu 474 juta Gigabit (GB) berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Katanya, penggunaan data bulanan setiap pengguna turut meningkat sebanyak 46.1 peratus pada suku pertama tahun ini dengan 21.8GB bagi setiap pengguna sebulan berbanding 14.9GB bagi tempoh yang sama pada 2020.

“Sebagai menghadapi peningkatan trafik data yang pesat akibat PKP, Celcom terus memastikan daya tahan dan penyediaan rangkaian yang tinggi.

“Sehingga kini, melalui pelaburan rangkaian yang dipacu, Celcom telah menaiktaraf dan mengoptimumkan lebih 7,000 tapak rangkaian, mempertingkatkan kapasiti dan liputan bagi kedua-dua kawasan luar bandar dan bandar dengan 93 peratus liputan populasi 4G di seluruh negara,” ujarnya.

Idham menambah, perbelanjaan modal (capex) Celcom setakat suku pertama tahun ini adalah sebanyak RM166 juta dengan jumlah capex yang disasarkan bagi 2021 adalah RM1 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Celcom, Jennifer Wong Chui Fen berkata, 70 peratus daripada perbelanjaan yang diperuntukkan oleh syarikat pada tahun ini akan ditumpukan kepada perkara berkaitan penyediaan dan pembangunan rangkaiannya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!