Program vaksinasi barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan bermula Jun

Program vaksinasi barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan dijangka bermula Jun depan. - Gambar hiasan
Program vaksinasi barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan dijangka bermula Jun depan. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Program vaksinasi barisan hadapan ekonomi sektor peruncitan dijangka bermula Jun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dianggarkan lebih daripada 500,000 pekerja sektor peruncitan bakal mendapat manfaat di bawah program tersebut.

"Memandangkan situasi Covid-19 yang semakin meningkat, pemberian vaksin kepada barisan hadapan ekonomi dilihat sangat mendesak untuk disegerakan khususnya dalam kalangan pekerja dalam sektor peruncitan bagi membantu mencapai imuniti kelompok," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi

Menurutnya, perjumpaan kementerian dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) telah diadakan dan turut disertai oleh 60 wakil pemain industri peruncitan.

"Melalui program ini, KPDNHEP telah diberi tanggungjawab untuk merancang dan menyelaraskan program vaksinasi sektor peruncitan dengan semua pemain industri yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP turut bekerjasama dengan Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia, Malaysia Retailers Association (MRA) dan Malaysia Retail Chain Association (MRCA) bagi mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di lokasi yang strategik di seluruh negara.

"Sebagai barisan hadapan ekonomi, sektor peruncitan penting dalam memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan harian sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Nanta menyeru syarikat di bawah sektor peruncitan menyertai program vaksinasi bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 seperti sasaran kerajaan iaitu 80 peratus populasi diberikan vaksin sebelum akhir tahun ini.

"Syarikat yang berminat untuk menyertai program ini boleh mengemukakan permohonan melalui https://www.vaksincovid.gov.my/ atau berhubung dengan KPDNHEP melalui Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada spip@kpdnhep.gov.my," katanya.