PKPD di Kuala Berang melibatkan 17,000 penduduk

Anggota penguat kuasa menyusun penghadang jalan sebagai persiapan PKPD di mukim Kuala Berang bermula Sabtu.
Anggota penguat kuasa menyusun penghadang jalan sebagai persiapan PKPD di mukim Kuala Berang bermula Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seramai 17,000 penduduk dari 23 buah kampung di mukim Kuala Berang di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Sabtu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihak polis bersama agensi penguatkuasaan lain telah melakukan persiapan bagi mengawal ketat pergerakan penduduk di kawasan terlibat.

Katanya, PKPD bermula 29 Mei hingga 11 Jun 2021 di mukim tersebut melibatkan kawasan seluas 7,000 hektar dengan 3,500 buah kediaman.

Mohd Adli
Mohd Adli

"Seramai 80 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengawal dan melakukan sekatan jalan raya (SJR) di laluan utama, jalan kampung dan laluan tikus bagi memantau aktiviti keluar masuk di kawasan dikenakan kawalan PKPD kali ini.

"Selain itu, kita juga memantau pergerakan penduduk di kawasan PKPD ini bagi memastikan semua keluarga di dalam kawasan ini mematuhi prosedur operasi stadard (SOP) ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan PKPD di mukim Kuala Berang di sini pada Jumaat.

Katanya, sebanyak lima sekatan dilakukan pada jalan utama, empat jalan kampung serta laluan tikus yang dikenal pasti.

"Lima SJR dilakukan melibatkan laluan utama yang merupakan laluan keluar masuk ke mukim Kuala Berang manakala empat jalan di kawasan kampung serta beberapa jalan tikus yang dikenal pasti akan dilakukan sekatan kekal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya PKPD dikuatkuasakan ekoran perebakan pandemik Covid-19 dalam tempoh 14 hari di kawasan itu yang mencecah 65 kes setakat Khamis.

"Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kadar perebakan Covid-19 yang cepat di kawasan ini memerlukan langkah segera bagi mengekang dan menghalang penyebaran wabak ke kawasan-kawasan lain," katanya.

Anggota penguat kuasa menyusun penghadang jalan sebagai persiapan PKPD di mukim Kuala Berang bermula Sabtu.
Anggota penguat kuasa menyusun penghadang jalan sebagai persiapan PKPD di mukim Kuala Berang bermula Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, SOP rasmi PKPD di kawasan itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat dan aktiviti penting melibatkan bekalan makanan dan keperluan penduduk dibenarkan dalam tempoh masa ditetapkan.

"Sekiranya perlu memasuki kawasan PKPD atas urusan 'essential' seperti kesihatan, farmasi dan lain-lain, mereka perlu daftar di sekatan SJR di laluan pintu masuk terlebih dahulu dengan menulis nama, nombor kad pengenalan dan tujuan masuk.

"Ketika keluar, mereka juga perlu kemukakan bukti berkaitan misalnya pengimbas MySejahtera, resit belian barangan dari farmasi atau resit-resit berkaitan barangan keperluan yang dilakukan.

"Mereka yang gagal mengemukakan bukti atau masuk bagi tujuan lain akan dikenakan tindakan saman atau kompaun mengikut kesalahan dilakukan kerana telah melanggar SOP PKPD," katanya.