Polis rampas syabu bernilai RM3.83 juta

Bungkusan mengandungi syabu yang dirampas polis di dalam sebuah bot fiber pada Khamis.
Bungkusan mengandungi syabu yang dirampas polis di dalam sebuah bot fiber pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan polis bersama 100 bungkusan mengandungi dadah jenis syabu di dalam sebuah bot fiber di sebuah jeti di Bagan Bukit Tambun, Simpang Ampat petang Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, serbuan dibuat Unit Risikan Marin Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui 100 bungkusan plastik berwarna kuning keemasan yang di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu seberat 105 kilogram.

"Siasatan dilakukan mendapati sindiket ini telah menjalankan kegiatan ini sejak Mei tahun lalu dan dadah yang dirampas disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

"Dianggarkan dadah yang dirampas bernilai RM3.83 juta dan polis turut merampas sebuah bot fiber dan enjin Yamaha 200HP yang digunakan dua lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Bot fiber yang digunakan suspek untuk membawa syabu yang ditahan polis pada Khamis.
Bot fiber yang digunakan suspek untuk membawa syabu yang ditahan polis pada Khamis.

Sahabudin berkata, lelaki warga Indonesia yang ditahan berusia 36 tahun manakala seorang lagi warga tempatan berusia 57 tahun dan mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan mengedar ganja pada tahun 2011.

Jelasnya, sekiranya dadah itu terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh kira-kira 210,000 penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.