Hilang kerja, digigit tikus tidur tepi jalan

Chee Heng (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan pasangan suami isteri yang hidup gelandangan di tepi kedai di Jalan Brunei Barat, Kuala Lumpur. - Foto FB Kuan Chee Heng
Chee Heng (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan pasangan suami isteri yang hidup gelandangan di tepi kedai di Jalan Brunei Barat, Kuala Lumpur. - Foto FB Kuan Chee Heng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri terpaksa menjadi gelandangan di kaki lima di Jalan Brunei Barat selepas hilang pekerjaan apabila restoran tempat mereka bekerja ditutup sebulan lalu.

Malang berganda pasangan berusia lebih 40-an itu kerana kehilangan tempat berlindung selepas tidak mampu membayar tunggakan kos bilik yang disewa sebanyak RM900.

Lebih menyedihkan, kaki si suami mengalami jangkitan teruk selepas digigit tikus kerana tidak mampu mendapatkan rawatan perubatan akibat ketiadaan wang.

Kisah pasangan itu dikongsi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang di Facebooknya.

Pasangan suami isteri yang hidup gelandangan selepas kehilangan kerja manakala si suami mengalami jangkitan teruk selepas digigit tikus. - Foto FB Kuan Chee Heng
Pasangan suami isteri yang hidup gelandangan selepas kehilangan kerja manakala si suami mengalami jangkitan teruk selepas digigit tikus. - Foto FB Kuan Chee Heng

“Digigit tikus, sedih sangat. Pasangan Cina ini pernah bekerja di restoran. Oleh kerana restoran dah tutup dan mereka tak mampu bayar bilik sewa, telah di usir.

“Keadaan mereka yang tinggal di tepi kedai Jalan Brunei Barat, Kuala Lumpur sangat menyedihkan. Lelaki Cina ini telah di gigit tikus masa tidur dan kaki beliau mula luka yang sangat besar,” katanya.

Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia dan menawarkan perkhidmatan ambulan 10 sen berkata, pasukannya pergi ke lokasi itu bagi membantu pasangan tersebut dan mereka sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

“Pandemik ini telah banyak menyebabkan kesusahan dan jumlah gelandangan mungkin bertambah teruk. Kami akan cuba aturkan beliau untuk penempatan sementara,” katanya.