UNI-MLC rayu kerajaan laksana ‘lockdown’

Gambar kecil: Mohamed Shafie BP Mammal
Gambar kecil: Mohamed Shafie BP Mammal
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) merayu agar kerajaan segera laksanakan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh berikutan kadar jangkitan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, beliau percaya pelaksanaan ‘lockdown’ menyeluruh di seluruh negara dapat menyelamatkan rakyat.

Kata beliau, rakyat pasti akan menyokong tindakan tegas tersebut dengan melakukan sedikit pengorbanan yang akan membantu rakyat.

“Kerajaan boleh membenarkan industri penting seperti makanan, kedai runcit dan pasar raya, serta perubatan sahaja untuk beroperasi supaya tidak menjejaskan rantaian bekalan makanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, perkembangan semasa Covid-19 merisaukan UNI-MLC dan ahli yang terdiri daripada pekerja memandangkan kes baharu melibatkan tempat kerja dan komuniti dilaporkan mula meningkat.

“UNI-MLC menghormati hujah diketengahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Program Bual Bicara baru-baru ini bahawa sekatan atau 'lockdown' menyeluruh tidak dapat dilaksanakan atas pertimbangan ekonomi dan kedudukan kewangan negara.

“Tetapi memandangkan keadaan semakin serius dan tenat, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula keperluan terdesak ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Shafie berkata, kerajaan wajar melaksanakan pakej rangsangan 2021 terbaharu bagi membantu rakyat yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, UNI-MLC yakin kerajaan akan mempertimbangkan kedua-dua pendekatan sekatan menyeluruh dan bantuan kewangan bagi menyelamatkan rakyat dan negara.

Jumlah kes baharu Covid-19 di negara terus melonjak bagi tempoh tiga hari berturut-turut apabila sebanyak 7,857 kes dicatatkan pada Khamis sekali gus rekod harian tertinggi pernah dicatatkan di negara ni.