Putera raja, ahli perniagaan dipenjara kes rasuah di Arab Saudi

Gambar fail menunjukkan bangunan sebuah mahkamah yang terdapat di Riyadh. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan bangunan sebuah mahkamah yang terdapat di Riyadh. - Foto AFP
A
A
A

RIYADH - Seorang kerabat diraja, beberapa pegawai tentera, ahli perniagaan dan ekspatriat serta orang awam dihukum penjara pada Khamis setelah disabitkan kesalahan dalam kes rasuah di Arab Saudi.

Menurut sumber Pihak Berkuasa Antijenayah dan Pengawasan negara itu, sebuah mahkamah di Riyadh menjatuhkan hukuman tersebut dalam beberapa perbicaraan yang diadakan baru-baru ini.

Dalam salah satu kes itu, seorang putera diraja, seorang pegawai pelajar di sebuah kolej tentera yang bersekutu dengan Kementerian Pertahanan negara tersebut dan seorang ekspatriat disabitkan kesalahan dalam kes rasuah serta dihukum penjara.

Menurut portal Saudi Gazette, putera diraja dan seorang pegawai pelajar itu didapati bersalah kerana menggunakan sijil akademik palsu bagi mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan.

Ekspatriat itu pula bertindak sebagai pengantara yang membantu putera diraja dan pegawai pelajar berkenaan mendapatkan sijil akademik palsu.

Justeru, kerabat diraja itu dihukum penjara dua tahun dan denda 100,000 riyal (RM110,284) manakala pegawai berkenaan dihukum penjara setahun enam bulan selain denda sebanyak 50,000 riyal (RM55, 142).

Ekspatriat berketurunan Arab itu pula dihukum penjara dan didenda sebanyak 20, 000 riyal (RM22,056).

Dalam satu lagi keputusan, seorang komander di salah satu sektor keselamatan di Kementerian Dalam Negeri yang berpangkat Mejar Jeneral didapati bersalah melakukan pemalsuan, salah guna pentadbiran, menyalahgunakan pengaruh untuk mendapatkan kepentingan peribadi dan terlibat dalam perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Dia dihukum penjara dan didenda sebanyak 160,000 riyal (RM176,455).

Seorang lagi pegawai dengan pangkat mejar yang bekerja di sektor yang sama didapati bersalah melakukan pemalsuan dan menyalahgunakan kuasa pentadbiran.

Dia dihukum penjara dua tahun dan denda sebanyak 100,000 riyal (RM110, 284).

Seorang lagi ahli perniagaan yang didapati bersalah setelah terlibat dengan salah guna pentadbiran dan pengubahan wang haram dihukum penjara empat tahun enam bulan serta didenda 150,000 riyal (RM165,427).

Dia juga berdepan hukuman dilarang mengembara ke luar negara selama tiga tahun.

Seorang lagi ahli perniagaan didapati bersalah kerana memalsukan dokumen dan dipenjarakan dua tahun serta denda sebanyak 200,000 riyal (RM220,569). - Agensi